Satu pertiga Pakistan kini ditenggelami air
Agensi
September 2, 2022 15:37 MYT
September 2, 2022 15:37 MYT
PARIS: Imej yang diperolehi melalui satelit mendedahkan lebih satu pertiga Pakistan kini ditenggelami air selepas beberapa minggu hujan tanpa henti.
Pakistan berhadapan dengan kesan perubahan iklim yang melampau, walaupun negara itu hanya menyumbang kira-kira 1 peratus pelepasan gas rumah hijau global.
Hujan monsun mula melanda Pakistan sejak pertengahan Jun, melebihi 10 kali ganda purata nilai hujan untuk tahun ini, menurut Agensi Angkasa Eropah (ESA), yang mengeluarkan imej satelit baharu negara itu pada Khamis.
Imej baharu berkenaan yang dirakam oleh satelit Copernicus Sentinel-1 pada Selasa, mendedahkan skop kemusnahan dengan sangat terperinci. Sungai Indus melimpah ke tebingnya, mewujudkan tasik sepanjang 60 batu (100 kilometer) dan lebih daripada 6 batu (10 km) lebar; kawasan tanah yang luas di barat negara, di sepanjang sempadan dengan Afghanistan, kini berada di bawah air; dan air mengalir menuruni banjaran gunung Himalaya dan Karakoram.
Bencana itu setakat ini telah mengorbankan lebih 1,100 nyawa dan menjejaskan 33 juta penduduk Pakistan yang keseluruhannya berjumlah 220 juta orang, menurut ESA.
Perdana Menteri, Shehbaz Sharif menyifatkan banjir sebagai yang terburuk dalam sejarah Pakistan, menganggarkan ia akan menelan belanja sekurang-kurangnya AS$10 bilion untuk membaiki infrastruktur yang rosak.
Bagaimana pun, banjir tersebut bukanlah terjadi secara tiba-tiba. Pakistan dilanda gelombang panas pada bulan Mei, menurut Al Jazeera, yang memburukkan lagi pencairan glasier gunung, menyebabkan banjir.