Satu pertiga orang dewasa Singapura jangkakan kurang berbelanja untuk Krismas

Bernama
Disember 24, 2022 10:30 MYT
Satu pertiga golongan dewasa Singapura menjangkakan mereka akan kurang berbelanja pada Krismas susulan kos sara hidup yang semakin meningkat, menurut data terkini YouGov. -Gambar hiasan
SINGAPURA: Satu pertiga golongan dewasa Singapura menjangkakan mereka akan kurang berbelanja pada Krismas susulan kos sara hidup yang semakin meningkat, menurut data terkini YouGov.
YouGov ialah kumpulan teknologi data penyelidikan dan analitik dalam talian antarabangsa.
Walaupun tahun ini merupakan Krismas pertama pascapandemik, mungkin ada yang merancang menyambut perayaan ini secara kecil-kecilan ekoran kenaikan kos sara hidup yang memberi kesan ke atas dompet mereka, kata YouGov di laman sesawangnya.
Satu pertiga atau 35 peratus mengatakan mereka akan mengurangkan perbelanjaan pada Krismas tahun ini berbanding kelaziman manakala 12 peratus lagi menyatakan akan berbelanja lebih daripada kebiasaan.
Satu daripada lima (20 peratus) akan meraikan Krismas dalam suasana 'biasa', walaupun angka ini meningkat lebih suku (27 peratus) dalam kalangan Gen Z.
Peratusan terbesar penduduk menjangkakan mereka akan berbelanja antara S$101 dan S$500 sepanjang Krismas, dengan lebih satu pertiga atau 36 peratus akan membelanjakan jumlah itu.
Kira-kira 26 peratus lagi berbelanja kurang daripada S$50 manakala 24 peratus antara S$51 dan S$100.
Hanya 9.0 peratus akan mengeluarkan wang dalam lingkungan S$501 hingga S$1,000, manakala 5.0 peratus menjangkakan berbelanja lebih daripada itu.
Menurut YouGov, data itu juga menunjukkan Krismas tahun ini mungkin kurang aktiviti sosial apabila golongan dewasa mengurangkan perjumpaan dengan rakan-rakan dan mengunjungi tempat-tempat menarik.
Sementara itu, penduduk lebih berusia berkemungkinan besar mengatakan mereka akan mengurangkan perbelanjaan dalam kebanyakan kategori terutama untuk hadiah dan perjumpaan.
Kajian itu telah dijalankan secara dalam talian pada 15 Dis 2022, dengan sampel yang mewakili negara sebanyak 1,027 orang dewasa di Singapura (berumur 18 tahun ke atas), menggunakan soal selidik yang direka oleh YouGov.
Angka data dianalisis mengikut umur, jantina dan etnik untuk mewakili semua orang dewasa di Singapura, dan mencerminkan anggaran terkini Jabatan Perangkaan Singapura (DOS)i.
-- BERNAMA
#Singapura #Gen Z #Krismas #YouGov
;