Satu maut, gempa kuat di Mexico cetus amaran tsunami

Astro Awani
September 19, 2022 07:30 MYT
Kerosakan pada sebuah bangunan di Guadalajara susulan gempa kuat yang melanda Mexico. - Foto REUTERS
MEXICO CITY: Gempa bumi berukuran 7.6 magnitud menggegarkan kawasan barat Mexico pada Isnin pada ulang tahun dua gempa kuat.
Sekurang-kurangnya seorang dilaporkan terkorban dalam kejadian itu, manakala beberapa bangunan alami kerosakan serta penduduk di Mexico City terputus bekalan elektrik.
Presiden Andres Manuel Lopez Obrador memaklumkan, seorang dilaporkan maut di pelabuhan Pasifik Manzanillo selepas ditimpa dinding ketika di dalam sebuah kedai runcit.
Pihak berkuasa turut melaporkan kerosakan pada bangunan hospital di Michoacan yang terletak berdekatan dengan pusat gempa.
Menurut kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), gempa melanda kira-kira pada jam 1.30 petang waktu tempatan di pantai barat negara itu berdekatan dengan Michoacan.
Pusat gempa dilaporkan pada kedalaman 15 kilometer dan Pusat Amaran Tsunami Pasifik AS mengeluarkan amaran tsunami untuk beberapa kawasan di pesisir pantai Mexico.
Jelasnya gempa berkenaan boleh menyebabkan gelombang ombak besar setinggi 3 meter.
Bagaimanapun tiada laporan kerosakan akibat gegaran itu dilaporkan di Mexico City yang berlaku pada hari sama gempa kuat melanda negara itu pada tahun 1985 dan 2017.
#gempa bumi #Pantai Pasifik #gegaran #maut
;