Satu dekad konflik kemanusiaan Syria - Ibrah dan refleksi

Syahrir Azfar Saleh
Mac 21, 2021 11:18 MYT
Penulis bergambar di kawasan perumahan at-Thom, Aleppo yang musnah akibat diserang. - Foto Syahrir Azfar Saleh
ADA yang bertanyakan, kenapa penulis masih lagi terus berjuang dalam isu Syria yang telah satu dekad lamanya berlaku?
Jawapan penulis adalah kerana penulis telah menjadi saksi kepada kezaliman dan kekejaman yang berlaku di Syria.
Takutnya penulis pula akan berlaku zalim dan berdosa sekiranya apa yang telah disaksikan dengan mata kepala sendiri tidak diangkat serta dibela.
Jika mahu disoroti segala macam kezaliman yang berlaku kepada masyarakat Syria tanpa pembelaan sepanjang satu dekad ini, pasti akan benar-benar meruntun jiwa kemanusiaan kita semua.
Namakan sahaja - serangan senjata kimia, serangan bom tong barrel, pengepungan secara sistematik sehingga mengakibatkan kematian akibat kebuluran, segalanya telah atau sedang berlaku di Syria.
Penulis sempat melihat sendiri insiden di mana sejumlah 230 jasad ditemui telah ‘dibuang’ ke Sungai Kuweiq di Aleppo pada penghujung Januari 2013.
Jasad-jasad tersebut dikumpulkan oleh orang awam di dataran terbuka sebuah sekolah bagi proses pengecaman waris dan ahli keluarga.
Hampir kesemua jasad yang terbaring kaku ini mempunyai kesan tembakan di kepala mahupun kesan penyeksaan yang membawa kepada kematian seperti disimbah asid, dicungkil biji mata dengan sebahagiannya ditemukan masih lagi terikat tangan mereka.
Jujur sukar untuk penulis memproses kejadian yang berlaku di hadapan mata sendiri, namun ia seakan memberi tanda bahawa penulis perlu memikul beban untuk membela kezaliman yang berlaku ini.
Di samping itu, tragedi yang paling sukar untuk penulis lupakan adalah ketika mana dijadual untuk merasmikan Sekolah Ain Jalut di Aleppo yang telah dibaik pulih hasil sumbangan rakyat Malaysia.
Hari tersebut telah bertukar menjadi hari yang berdarah. 15 minit sebelum kami tiba, dua buah roket dilaporkan menyerang sekolah tersebut mengakibatkan lebih 30 orang pelajar termasuk guru terkorban.
Begitulah gambaran gilanya peperangan yang berlaku di Syria. Sehingga tiada siapa pun yang berani dan benar-benar mahu bersuara untuk menghentikan segala macam pencabulan kepada Undang-undang Kemanusiaan Antarabangsa (International Humanitarian Law).
Benar, penulis kecewa.
Satu dekad berlalu dan konflik kemanusian masih berlanjutan di Syria.
Sehingga Disember 2020, Syrian Observatary for Human Rights melaporkan angka kematian sudah mencecah seramai 593,000 orang.
Data sehingga Januari 2021 pula menunjukkan sekitar 13.4 juta rakyat Syria (hampir 75% daripada populasi Syria) memerlukan bantuan kemanusiaan.
Ia diburukkan lagi dengan penularan wabak COVID-19 yang melanda dunia.
90% rakyatnya kini hidup di bawah paras kemiskinan yang parah dengan pendapatan hanya AS$1.25 sehari.
Harga makanan keperluan harian dilaporkan meningkat sehingga 286%!
Akses kepada kemudahan kesihatan adalah sangat terhad dengan hanya 58% hospital dan 53% pusat kesihatan sahaja yang berfungsi.
Saat penulis menyoroti data terkini konflik Syria yang dikeluarkan dari pelbagai sumber seperti PBB, International Committee of Red Cross (ICRC) dan Human Rights Watch (HRW) ini, penulis menyedari betapa dahsyatnya kesan sesebuah peperangan dan benar-benar merasa syukur di atas nikmatnya sebuah keamanan, kedamaian dan juga kebebasan yang kita kecapi di bumi bertuah Malaysia.
Jujur penulis katakan, rakyat Malaysia merupakan sebuah masyarakat yang sangat prihatin, bersedia untuk membantu mereka yang memerlukan samada di dalam mahupun di luar negara.
Walaupun mungkin ada yang masih skeptikal dengan bantuan yang disalurkan ke luar negara dan diibaratkan umpama kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan, ia tidak merencatkan sedikitpun usaha kita bersama untuk meringankan beban dan kesakitan yang dilalui oleh masyarakat di luar sana.
Pendek kata, di mana pelosok dunia yang memerlukan, Malaysia akan hadir.
Semoga Allah terus merahmati bumi Malaysia!
Maka persoalan berikutnya, sehingga bila kita perlu membantu Syria?
Pendapat penulis, apabila sampai waktunya segalanya kembali tenang, aman dan keselamatan mereka telah terjamin.
Pemimpin-pemimpin dunia harus menzahirkan ketegasan dalam mencapai kata putus dalam menyelesaikan konflik peperangan di Syria yang kini dilihat telah menjadi medan peperangan di antara negara-negara yang mempunyai kepentingan tanpa memikirkan nasib dan nyawa rakyat Syria yang masih terus terancam saban hari.
Suatu ketika dahulu Malaysia pernah membantu Bosnia Herzegovinia dari segi diplomasi, bantuan kewangan, kemanusiaan dan moral termasuk menghantar tentera Malaysia untuk menganggotai tentera pengaman PBB ke sana.
Begitulah jua harapan penulis dalam usaha-usaha yang digerakkan untuk menangani konflik peperangan Syria yang perlu kita akui, ia sedikit sebanyak memberi kesan kepada Malaysia apabila telah menjadi antara destinasi pilihan untuk para pelarian Syria mendapatkan perlindungan sementara konflik belum berakhir.
Membiarkan mereka tanpa membawa solusi segera untuk menangani hak dan keperluan asas kehidupan manusia seperti tempat untuk berlindung, jaminan keselamatan, akses kepada perkhidmatan kesihatan dan juga pendidikan hanya akan mencetuskan pelbagai permasalahan yang mungkin akan timbul pada masa hadapan.
Penulis berpendapat, adalah wajar untuk badan-badan NGO dan kerajaan untuk pro-aktif dalam menangani perkara ini di peringkat awal daripada merasa sesal di kemudian hari.
Satu dekad konflik kemanusiaan Syria, semoga ia memberi ibrah dan pengajaran yang berguna untuk kita semua, betapa nilai keamanan sesebuah negara itu tiada tolok bandingannya dengan apa pun.
Sebagai sebuah refleksi, andai kita tidak melakukan sesuatu untuk menjaga dan memelihara nyawa manusia, maka di manakah duduknya 'dhomir' dan nilai kemanusiaan dalam diri kita?
Penulis mengajak kita semua untuk menzahirkan rasa syukur dengan berkongsi kebahagiaan dengan mereka yang kurang bernasib baik, bukan sahaja untuk Syria, tetapi untuk semua.
Salam keamanan sejagat.

* Penulis merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia for Syria merangkap Ketua Pegawai Operasi Global Peace Mission (GPM) Malaysia.
** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI
#Aleppo #Syria #Sekolah Ain Jalut #Ketua Pegawai Operasi Global Peace Mission GPM Malaysia #Syahrir Azfar Saleh
;