Sarawak lancar laporan kemampanan tahunan untuk inisiatif hijau

Bernama
September 9, 2024 22:47 MYT
Abang Johari berkata Unit Perancang Ekonomi Sarawak ditugaskan untuk inisiatif itu. - Gambar fail/Bernama
SINGAPURA: Negeri Sarawak, Malaysia akan melancarkan mekanisme pelaporan kemampanan tahunannya tahun depan untuk memantau sumbangan sektor awam kepada inisiatif hijau negeri itu, kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Dalam ucaptama beliau pada persidangan APPEC 2024, sebuah forum berpengaruh untuk industri tenaga global yang diadakan di Singapura pada Isnin, Abang Johari berkata inisiatif itu - sebagai tambahan kepada undang-undang perubahan iklim negeri yang berkuat kuasa pada 1 Mac - akan membantu membina kepercayaan rakyat dan rakan kongsi antarabangsa.
"Dengan menyepadukan pertimbangan iklim ke dalam setiap keputusan, Sarawak menerajui teladan dengan peraturan yang ketat dan pelaporan yang telus, mengukuhkan komitmen kami terhadap masa depan yang mampan.
Undang-undang perubahan iklim atau Ordinan Alam Sekitar (Pengurangan Gas Rumah Hijau) yang diluluskan pada 20 Nov tahun lepas, mewajibkan perniagaan dalam sektor tenaga dan minyak dan gas menyerahkan laporan pelepasan gas rumah hijau (GHG) mereka untuk memastikan akauntabiliti seluruh sektor.
Abang Johari berkata Unit Perancang Ekonomi Sarawak ditugaskan untuk inisiatif itu.
Bagi menangani krisis iklim, Abang Johari menegaskan dasar yang memberi ganjaran kepada amalan mampan mesti dilaksanakan, dan pelaburan harus dibuat ke arah projek yang memberi manfaat kepada rakyat dan alam sekitar.
Menegaskan Sarawak komited untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau dan beralih kepada ekonomi rendah karbon, beliau berkata Sarawak telah melabur dalam teknologi hijau, memperluas penggunaan tenaga hidro dan tenaga solar, serta mempelbagaikan campuran tenaganya dengan tenaga boleh diperbaharui.
Abang Johari berkata matlamat Sarawak adalah untuk menggandakan kapasiti elektriknya kepada 10GW menjelang 2030 dan mencapai 15GW menjelang 2035, meletakkan Sarawak sebagai Kuasa Tenaga Hijau di ASEAN.
Di samping itu, bagi menempatkan Sarawak sebagai peneraju global dalam pasaran hidrogen hijau, melangkaui ASEAN dan Asia Pasifik, negeri itu juga menerajui pembangunan ekonomi hidrogen hijau sebagai alternatif bersih kepada bahan api fosil.
Beliau berkata Sarawak juga terus memajukan strategi tenaga bersihnya dengan meneroka teknologi seperti projek solar-angin hibrid dan solar-hidro yang akan melengkapkan pengembangan tenaga hidro dan penting dalam mengurangkan pelepasan karbon merentasi pelbagai sektor.
"Bersama-sama dengan inisiatif tenaga boleh diperbaharui kami, penyelesaian hibrid ini menekankan komitmen kami yang tidak berbelah bahagi terhadap pembangunan tenaga mampan dan masa depan rendah karbon," katanya.
Sarawak juga sedang meneroka sumber tenaga alternatif, termasuk menukar loji arang batu kepada biojisim dan membangunkan tenaga gelombang sebagai sebahagian daripada campuran tenaganya.
Kompleks Metanol Sarawak, yang dilancarkan pada Julai, menandakan kemasukan negeri itu sebagai pengeluar metanol global terkemuka dengan kapasiti tahunan 1.75 juta tan metrik.
Abang Johari berada di Singapura untuk lawatan kerja rasmi empat hari ke republik pulau itu yang berakhir pada Selasa.
-- BERNAMA
#ASEAN #pelaburan #Tenaga Boleh Diperbaharui #hidrogen
;