Saraf Salman Rushdie putus akibat ditikam, mungkin buta sebelah mata

Astro Awani
Ogos 13, 2022 08:45 MYT
Salman Rushdie terpaksa menggunakan mesin ventilator dan berkemungkinan buta sebelah mata selepas ditikam pada satu majlis sastera di New York. -Gambar fail/Reuters
NEW YORK: Penulis buku kontroversi Salman Rushdie terpaksa menggunakan mesin ventilator dan berkemungkinan buta sebelah mata selepas ditikam pada satu majlis sastera di New York.
Menurut ejennya, Andrew Wylie dalam kenyataan bertulis kepada Reuters, pengarang itu tidak boleh bercakap dan saraf di lengannya terputus.
"Khabar buruk. Salman berkemungkinan akan kehilangan sebelah mata, saraf di lengannya terputus, dan hatinya rosak akibat ditikam,” kata Wylie.
Suspek Hadi Matar, 24, dari New Jersey, telah ditahan selepas didakwa menyerbu ke atas pentas dan menikam penulis buku kontroversi itu sekurang-kurangnya sekali di leher dan perut.
Salman cedera selepas ditikam di atas pentas pada acara sastera di Institut Chautauqua, New York pada Jumaat.
BACA: Penulis kontroversi Salman Rushdie cedera ditikam atas pentas
Hadirin yang terkejut dengan kejadian cuba melawan dan menahan penyerang sebelum dia kemudian berjaya ditahan seorang anggota polis yang bertugas menjaga keselamatan pada majlis itu,.
Seorang doktor yang hadir pada majlis itu membantu merawat Salman sementara menunggu perkhidmatan kecemasan tiba.
Pengarang berusia 75 tahun itu kemudian dihantar ke hospital di Erie, Pennsylvania menaiki helikopter.
Polis masih mengenal pasti motif serangan dan percaya suspek bertindak bersendirian.
Salman menerima ancaman sejak akhir 1980-an apabila pemimpin agama Iran Ayatollah Khomeini mengeluarkan fatwa terhadapnya susulan penerbitan bukunya yang menghina agama Islam.
#Salman Rushdie #pemimpin agama #buta sebelah mata #fatwa Ayatollah Khomeini
;