SAR kapal selam Nanggala 402 makin mendesak, oksigen cuma bertahan 72 jam

Astro Awani
April 22, 2021 18:20 MYT
Bekalan oksigen hanya mampu bertahan 72 jam, sekali gus memberi masa kepada pasukan SAR sehingga Sabtu pagi. - Foto Pusat Penerangan TNI
KUALA LUMPUR: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) krew kapal selam KRI Nanggala 402 yang dipercayai hilang dan kandas di perairan Bali, terus dipergiat lantaran bekalan oksigen kapal itu dijangka kehabisan pada Sabtu.
Panglima Tentera Laut Indonesia, Laksamana Yudo Margono berkata bekalan oksigen hanya mampu bertahan 72 jam, sekali gus memberi masa kepada pasukan SAR sehingga Sabtu pagi.
"Lebih kurang tiga hari (bekalan oksigen). Kalau hilang kontak pada hari Rabu, jam 3 (pagi), maka ia boleh bertahan sehingga hari Sabtu, pukul 3 pagi, iaitu 72 jam," kata Yudo dalam sidang media bersama Panglima Tentera Nasional Indonesia (TNI) dan Menteri Pertahanan, Prabowo Subianto, di Bali.
Pasukan SAR turut menjumpai petunjuk awal seperti kesan tompokan minyak serta salah sebuah kapal SAR mengesan pergerakan di dalam air.
Sementara itu, Prabowo dalam sidang media sama berikrar untuk memperbaharui aset ketenteraan negara itu yang telah diguna pakai secara optimum.
"Saya mahu nyatakan di sini bahawa pengendalian kapal selam amat kompleks, sukar dan bahaya.
"Banyak negara berdepan insiden sama, jika tidak silap saya, Rusia juga. Kita berdoa supaya ia boleh dijumpai dengan segera.
"Pada masa ini oksigen masih mencukupi dan kami optimis dengan mengharapkan pengakhiran yang baik," katanya.
BACA: TLDM bantu pencarian kapal selam TNI Indonesia
BACA: Kapal selam hilang di perairan Bali mungkin terkandas di jurang berkedalaman 700 meter
Selain Malaysia, tujuh negara lain iaitu Amerika Syarikat, Jerman, Perancis, Turki, India dan Australia turut menawarkan bantuan dalam pencarian kapal selam tersebut yang terputus hubungan selepas melakukan latihan penembakan torpedo pada Rabu.
Kedudukan terakhir kapal itu ialah 23 batu di utara Pulau Bali.
Pada 3.46 pagi Rabu, KRI Nanggala melaksanakan penyelaman, kemudian pada 4 pagi bersiap sedia untuk melakukan penembakan torpedo, pada 4.25 pagi selepas arahan kebenaran penembakan diberikan, komunikasi dengan Nanggala telah terputus.
#Prabowo Subianto #KRI Nanggala 402 #kapal selam hilang #kapal selam #Indonesia #mencari menyelamat
;