Sao Paulo tubuh kabinet krisis tangani kebakaran hutan
Astro Awani
Ogos 26, 2024 07:15 MYT
Ogos 26, 2024 07:15 MYT
SAO PAULO: Kerajaan negeri Sao Paulo di Brazil membentuk kabinet krisis untuk menangani kebakaran hutan yang meragut sekurang-kurangnya dua nyawa.
Kebakaran besar itu mengakibatkan seluruh Sao Paulo, bandar paling ramai penduduk di Amerika Latin, diselubungi asap tebal.
Kerajaan negeri memberi amaran bahawa kebakaran hutan boleh merebak dengan cepat akibat angin kencang.
Gabenor Sao Paulo, Tarcisio De Freitas berkata, 30 bandar diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga dan kerajaan berusaha mengawal keadaan serta memastikan keselamatan.
Dalam satu hantaran di X, beliau akui Sao Paulo berdepan masa sukar dan pihaknya komited untuk mengawal kebakaran dan memastikan semua penduduk selamat.
Kerajaan tempatan berkata, dua pekerja maut ketika memadamkan kebakaran di sebuah kilang perindustrian di Urupes, Jumaat lepas.