Sania Khan: Perjuangan lawan stigma perceraian di TikTok berakhir tragis
Agensi
Ogos 9, 2022 15:05 MYT
Ogos 9, 2022 15:05 MYT
TARIKH 21 Julai adalah hari Sania Khan, 29, sepatutnya meninggalkan Chicago, Illinois dan trauma perkahwinannya, bagi memulakan hidup baharu di tempat asalnya, Chattanooga.
Namun pada hari itu, hanya jenazahnya yang pulang ke kediaman keluarganya di Tennessee.
Tiga hari sebelum itu, Khan ditemui tidak sedarkan diri berhampiran pintu depan kondominium di Chicago yang pernah dihuni bersama suaminya, Raheel Ahmad. Terdapat kesan tembakan di belakang kepalanya dan dia disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Sewaktu ketibaan polis, Ahmad menembak mati dirinya sendiri.
Menurut laporan polis yang dikongsikan dengan Chicago Sun-Times, pasangan itu sedang melalui proses perceraian dan Ahmad, yang tinggal di negeri yang berbeza selepas berpisah dengan Khan, kembali "untuk menyelamatkan perkahwinan mereka".
Kematian adalah babak terakhir yang tragis dalam kehidupan Khan, seorang jurugambar muda Pakistan-Amerika yang menjadi suara bagi wanita melawan trauma perkahwinan dan stigma perceraian dalam komuniti Asia Selatan di platform TikTok.
Di Instagram, Khan menggambarkan minatnya dalam fotografi dengan biografi yang berbunyi "Saya membantu orang jatuh cinta dengan diri mereka sendiri dan antara satu sama lain di hadapan kamera."
Khan merakam gambar perkahwinan, kelahiran, baby shower dan peristiwa penting lain, kebiasaannya dengan bayaran mewah namun dia juga melakukannya untuk rakan-rakannya.
Bukan sahaja dalam foto, Khan juga mencari kegembiraan yang sama dalam realiti. Selepas berkenalan dengan Ahmad selama lima tahun, mereka berkahwin pada Jun 2021 dan berpindah ke Chicago.
"Mereka melangsungkan perkahwinan gaya Pakistan secara besar-besaran, tetapi perkahwinan itu dibina di atas pembohongan dan manipulasi," kata seorang rakan.
Rakan-rakan Khan mendakwa Ahmad sudah lama mempunyai masalah mental. Pasangan itu menjalin hubungan jarak jauh sebelum berkahwin, yang menurut rakan-rakannya, mungkin mengaburkan tahap ketidakserasian mereka.
Masalah mula timbul pada Disember lalu apabila Khan memberitahu rakannya bahawa Ahmad mengalami krisis kesihatan mental dan dia berasa tidak selamat.
Dengan sokongan rakan-rakannya, Khan memfailkan perceraian, dengan perbicaraan akan berlangsung pada Ogos untuk memuktamadkan perpisahan itu.
Dia juga memfailkan perintah larangan dan menukar kunci pintu rumahnya.
Pada masa yang sama, dia mula berkongsi kisahnya di TikTok, menggambarkan dirinya sebagai "kambing hitam" dalam komunitinya.
"Melalui perceraian sebagai wanita Asia Selatan membuatkan anda berasa gagal dalam hidup," katanya dalam satu catatan.
Semasa kematiannya, akaun TikToknya mempunyai lebih 20,000 pengikut.
Bisma Parvez, 35, seorang wanita Islam Pakistan-Amerika, adalah salah seorang daripada mereka.
"Wanita dalam situasi ini sering diberitahu untuk sabar tetapi dalam perhubungan seperti ini, kesabaran bukanlah jawapannya.
"Kita sentiasa memberitahu wanita untuk melindungi diri mereka, tetapi penting juga untuk mengajar anak lelaki untuk menghormati wanita," kata Parvez.