Sanggupkah buang air di tong ini? Adakah ini idea 'hancing' di Paris?

Agensi
Ogos 14, 2018 21:41 MYT
Siapa sangka, lelaki ini yang menikmati npemandangan menarik, rupanya sedang melepaskan 'hajat'? - Reuters
Ketika berseronok menikmati suasana indah di Paris yang terkenal dengan jolokan nama Kota Romantis, tapi tiba-tiba terasa ingin membuang air kecil pula.. Ke mana hendak pergi?
Kini pihak berkuasa bandar raya itu meletakkan rangkaian tempat membuang air kecil yang bukan saja dikatakan mesra alam, malah penggunanya tidak perlu 'malu-malu' dengan alam!
Tempat membuang air kecil itu diletakkan di jalanan Paris untuk menangani masalah tabiat membuang air secara sesuka hati di tempat awam, namun langkah itu mencetuskan kemarahan orang ramai khususnya rakyat tempatan.
Salah satu daripada tong berwarna merah terang yang dinamakan ‘urinoirs’ iotu ditempatkan di Ile Saint-Louis, tidak jauh dari katedral Notre Dame dan menghadap pandangan bot-bot pelancong yang menyusuri Sungai Seine.
Orang tempatan yang tidak bersetuju telah membuat aduan kepada dewan bandar raya supaya mengalihkannya, selain memulakan petisyen.
“Tidak perlu meletakkan sesuatu yang tidak senonoh dan hodoh di lokasi bersejarah,” ujar pemilik kedai seni, Paola Pellizzari, 68.
Dia khuatir, tong tersebut yang ditempatkan tidak jauh dari sebuah sekolah rendah, akan meningkatkan kes pelaku sumbang ‘exhibitionism’, yang suka menunjukkan kemaluan kepada mangsa.
Seorang lagi penduduk memberitahu, tong merah itu hanya mencacatkan pemandangan di lokasi indah dan mempunyai nilai sejarah.
Begitupun, pereka tong berkenaan berkata, usaha itu adalah eko-penyelesaian kepada masalah membuang air kecil di merata-rata tempat.
Datuk Bandar Ariel Weil bagaimanapun mengatakan langkah itu perlu. Pihak berkuasa Paris telah melaksanakan usaha itu dan merancang untuk meneruskannya.
“Jika kami tidak berbuat apa-apa, golongan lelaki akan ‘bebas’ untuk membuang air kecil di mana-mana sepanjang jalan,” ujarnya.
#buang air #Paris #pelancongan #urinoirs
;