Sanggup berdepan peluru demi keselamatan orang lain, pelajar ini digelar 'Black Panther' sebenar!
Ili Hadri Khalil
Februari 20, 2018 12:08 MYT
Februari 20, 2018 12:08 MYT
Insiden tembakan rambang yang mengorbankan 17 pelajar sekolah di Marjory Stone Douglas High School, Parkland, Florida baru-baru ini meninggalkan kesan yang amat dahsyat.
Pada masa ini, pelaku serangan sedang berdepan tindakan undang-undang, manakala komuniti setempat menjalankan protes untuk mendesak perubahan dalam sistem keadilan, keselamatan dan pemilikan senjata di Amerika Syarikat.
Sewaktu kekecohan tersebut, sebenarnya ada wira yang muncul dari kalangan orang biasa. Dia merupakan seorang pelajar yang cuba melakukan segalanya, malah di luar kemampuannya, demi menyelamatkan orang lain sewaktu keadaan sedang genting.
Netizen memuji tindakan Anthony Borges, 15 tahun, dan mengatakan remaja tersebut adalah wira sebenar selepas menyelamatkan 20 pelajar yang lain, hingga ada yang meggelarkannya 'Black Panther' sebenar.
Anthony adalah salah seorang mangsa kejadian tembakan di sekolah tersebut.
Remaja tersebut menerima lima tembakan ditubuhnya ketika menghalang sebuah pintu daripada dibuka, sekali gus menjadikan dirinya sebagai pelindung bagi puluhan pelajar lain.
Borges kini sedang menerima rawatan di sebuah hospital dan menurut doktor, dia sedang pulih dari kecederaan.
Dalam sekeping gambar yang ditularkan di internet, kelihatan Borges dilawati ketua sherif yang amat menghargai usahanya meletakkan diri dalam risiko demi keselamatan rakan-rakan sekolahnya.
Tindakan Borges itu disifatkan sebagai simbol pengorbanan dan keberanian yang amat luar biasa berbanding remaja yang sebaya dengan dirinya.