Sanggup bayar untuk 'bermesra' dengan harimau bintang, akhirnya terima padah

Astro Awani
November 1, 2020 11:00 MYT
Harimau bintang itu terus mengaum lalu menyerang Turner menyebabkan kecederaan pada bahagian kepala dan telinga. -Gambar hiasan/unsplash
HASRAT seorang lelaki di Florida mahu 'bermesra' dan merakam momen dengan harimau bintang bertukar ngeri apabila dia diserang binatang liar itu dalam kejadian di bandar Davie, Florida, Amerika Syarikat pada 31 Ogos lalu.
Memetik laporan CNN, pemilik harimau bintang Michael Poggi, 54, dilaporkan mengatur 'janji temu' agar mangsa Dwight Turner, 50, boleh bermain, menggosok perut serta merakam gambar bersama haiwan karnivor itu.
Mangsa juga dikatakan membayar sebanyak AS$150 (kira-kira RM620) untuk sesi mesra itu.
Bagaimanapun, malang tidak berbau apabila sesi tersebut bertukar kecelakaan selepas haiwan itu bertindak menerkam dan mengigit kepala dan telinga lelaki berkenaan.
"Sebaik sahaja Poggi membuka sangkar harimau bintang, Turner masuk dan duduk di bangku.
"Haiwan itu mengaum lalu menyerang Turner menyebabkan kecederaan pada bahagian kepala dan telinga," menurut Suruhanjaya Pemuliharaan Hidupan Liar, Institut Penyelidikan Ikan dan Hidupan Liar Florida (FWC).
"Turner mengalami kecederaan di bahagian kanan kepala dan telinganya.
"Isteri mangsa memaklumkan terpaksa memberikan sebahagian kulit untuk menampal kesan koyakan di kepala dan telinga suaminya," tambah FWC lagi.
Susulan itu, FWC berkata pemilik harimau bintang itu dikenakan dua tindakan undang-undang kerana mendedahkan hubungan dengan haiwan itu dan memelihara hidupan liar dalam kurungan.
Ketika disoal siasat, Poggi menyedari bahawa tindakannya itu salah.
#harimau bintang #Bermesra dengan binatang liar #Lelaki dibaham harimau #Dwight Turner #Michael Poggi #Institut Penyelidikan Ikan dan Hidupan Liar Florida #FWC
;