Sandiwara cinta terbongkar, isteri rancang drama 'bunuh diri' suami
Agensi
April 2, 2018 21:27 MYT
April 2, 2018 21:27 MYT
Cubaan seorang isteri menyembunyikan pembunuhan terbongkar sebaik sahaja polis mengesyaki terdapat kejanggalan pada dakwaan wanita itu bahawa suaminya mati kerana bunuh diri.
Kejadian yang berlaku di Karangpilang, Surabaya itu dipercayai berpunca daripada satu pertengkaran yang sampai ke kemuncak kemarahan hingga memaksa sang isteri mengambil tukul seberat 250 gram dan menghentam bahagian kanan kepala suaminya.
Mangsa yang mengerang kesakitan tidak dipedulikan isterinya. Malah wanita itu terus menghayun tukul berkenaan kali ini di bahagian belakang kepala mangsa, lapor portal Jonglosemarnews.com.
Melihat keadaan suaminya yang nazak, wanita itu mendapat idea untuk menjadikan pembunuhan berkenaan seperti adegan bunuh diri.
Dia kemudian mencari tali dan menggantung suaminya di sebuah bilik sebelum tidur bersama dua anaknya.
Sandiwara itu terbongkar apabila laporan bedah siasat mangsa menunjukkan sebab utama kematian adalah berpunca daripada hentaman kuat di kepala dan bukannya akibat jerutan tali seperti yang disangka.
Pertengkaran di antara mereka dikaitkan dengan suaminya yang dipercayai mempunyai hubungan dengan wanita lain.