San Francisco siap sedia anjur Sidang Kemuncak APEC

Bernama
November 11, 2023 17:05 MYT
Acara tahunan itu diadakan di Amerika Syarikat buat kali ketiga sejak penubuhan APEC pada 1989. - Reuters
SAN FRANCISCO: Ribuan wakil asing dan pemimpin dunia, termasuk Presiden Amerika Syariat (AS) Joe Biden dijadual menghadiri Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) di San Francisco pada minggu depan.
Acara tahunan itu diadakan di Amerika Syarikat buat kali ketiga sejak penubuhan APEC pada 1989, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Presiden China Xi Jinping dan Perdana Menteri Kanada Justin Trudeau dijangka turut hadir.
Pertemuan antara pemimpin-pemimpin dunia berkenaan dijangka membincangkan isu perdagangan dan idea untuk pertumbuhan ekonomi.
APEC secara rasminya bermula dari 11 hingga 17 November, tetapi acara berkaitan telah pun bermula, dan akan diteruskan selepas sidang kemuncak itu.
Jabatan Polis San Francisco menjangkakan pegawainya dan Perkhidmatan Rahsia AS akan bekerja lebih masa bagi menjamin keselamatan sepanjang penganjuran sidang kemuncak itu.
Biden dijadual berada di San Francisco pada Selasa.
-- BERNAMA
#APEC #San Francisco #sidang kemuncak #Joe Biden
;