Samsung Galaxy Fold episod baharu inovasi telefon pintar
Israr Khalid
Februari 21, 2019 19:06 MYT
Februari 21, 2019 19:06 MYT
SEPULUH tahun sejak telefon pintar diperkenalkan, ‘helah’ pembuat tidak banyak berubah.
Apa yang ditawarkan saban tahun adalah skrin yang semakin besar sehingga meliputi seluruh muka telefon sampai ke hujung bucu, paparan yang didakwa paling terang dan realistik, serta penaik tarafan ciri-ciri lain yang begitu begini begitu juga.
Ia menjadikan keadaan sukar buat rakyat marhaen yang mengimpikan telefon pintar terkini dan tercanggih berada di dalam poket mereka.
Dari mampu tukar setiap tahun, sampai ke dua-tiga tahun baru beli, itupun selepas berfikir dua tiga empat kali.
Malah menurut Strategy Analytics, pembelian telefon pintar jatuh buat pertama kalinya, turun lima pertaus kepada 376 juta unit.
Namun, acara Samsung Unpacked di San Francisco pada Rabu telah membuka episod baharu dalam inovasi teknologi telefon pintar apabila syarikat tersebut telah memperkenalkan secara rasmi Galaxy Fold – telefon dengan paparan LED yang boleh dibuka-lipat.
“Samsung telah membuktikan bahawa ada lagi benda yang boleh dibuat (pada telefon pintar),” kata Ikhwan Nazri, Ketua Pegawai Eksekutif Amanz.my.
Bagaimanapun Samsung bukanlah yang pertama memperkenalkan teknologi boleh-boleh lipat ini. Banyak pembuat telefon Android malah ‘startup’ kecil sedang mengusahakan peranti boleh-lipat. Stratup Royole telah menjual peranti boleh-lipatnya bernama FlexiPai dengan ciri 6GB RAM dan simpanan 128GB pada harga S1,318.
“Huawei juga akan membuat satu pengumuman berkenaan peranti boleh-lipatnya pada Ahad ini. Boleh kata Samsung adalah yang pertama mengkomersialkan teknologi tersebut,” menurut Ikhwan.
Galaxy Fold menampilkan ciri paparan muka depan 4.6 inci dan 7.3 inci apabila dibuka (paparan Infinity Flex), 12GB RAM dan kapasiti memori sebesar 512GB (tiada lagi penggunaan memori luaran MicroSD) dan ada dua bateri membekalkan kuasa 4,380mAh.
Telefon ini juga ada enam kamera; tiga di belakang (kamera ‘wide-angle’ 12-megapiksel, kamera telefoto 12-megapiksel dan kamera ‘ultra wide’ 16-megapiksel), dua kamera di dalam (kamera ‘selfie’ 10-megapiksel dan kamera ‘depth’ 8-megapiksel), dan kamera depan 10-megapiksel.
Harganya? AS$1,980 iaitu sekitar RM8,051.
“Boleh beli satu komputer riba dengan harga itu.
“Tapi Galaxy Fold ini terletak di antara telefon dan tablet, yang mana ia menekankan dunia mudah alih. Boleh dikatakan ia simbol kepada gaya hidup pantas masa kini dan sesuai untuk mereka yang mahukan sesuatu yang baharu dalam teknologi telefon pintar,” jelas Ikhwan.
Samsung Galaxy Fold akan dijual di Amerika Syarikat bermula 26 April ini.