Sampul meragukan dihantar ke konsulat asing di Istanbul
AFP
Oktober 24, 2014 22:23 MYT
Oktober 24, 2014 22:23 MYT
Beberapa sampul berisi serbuk kuning yang dihantar ke pejabat konsulat Belgium, Kanada dan Jerman di Istanbul hari ini menimbulkan kegemparan dan langkah berwaspada kini diambil pihak berkuasa.
Seorang petugas yang membuka sampul berkenaan di pejabat konsulat Kanada telah terdedah secara langsung pada kandungan yang belum dikenal pasti itu. Individu berkenaan kini sedang menjalani pemeriksaan oleh pakar, kata Agensi Pengurusan Bencana Turki (AFAD).
Pejabat konsulat Kanada telah ditutup selama sehari atas sebab keselamatan. Setakat ini, belum ada pihak tampil dan mengaku bertanggungjawab atas kejadian tersebut namun insiden itu meningkatkan kebimbangan mengenai isu keselamatan yang dicetus militan dari Syria dan Iraq.
Pasukan pakar AFAD yang digegaskan ke lokasi berkenaan telah mengumpulkan sampul-sampul berkenaan untuk proses analisa di makmal.
Petugas yang terdedah secara langsung dengan serbuk kuning itu bersama enam lagi yang turut diselamatkan kerana berada dekat dengannya turut dibawa AFAD untuk menjalani pemeriksaan dan rawatan.
Pakar radiologi AFAD yang siap berpakaian kalis kimia berbahaya itu dilihat membawa beg-beg hijau sementara pihak polis pula telah menutup kawasan tersebut. Kumpulan pakar itu kemudiannya dilaporkan meninggalkan pejabat konsulat Kanada untuk menuju ke konsulat Jerman dam Belgium.
Belgium, Kanada and Jerman adalah sebahagian daripada sekutu antarabangsa yang menentang kumpulan militan Negara Islam (IS) yang kini berkuasa di banyak kawasan di Syria dan Iraq.
Pemberontak IS yang kini mendekati Turki sedang habis-habisan merampas bandar Kobani yang terletak beberapa kilometer dari sempadan Syria.