'Sampai di sini sahaja" - Ucapan terakhir Boris Johnson di 10 Downing Street
Bernama
September 6, 2022 18:49 MYT
September 6, 2022 18:49 MYT
LONDON: "Sampai di sini sahaja," kata Boris Johnson dalam ucapan terakhirnya sebagai perdana menteri pada Selasa, lapor Agensi Anadolu.
"Dalam tempoh beberapa jam lagi, saya akan berada di Balmoral untuk mengadap Duli Yang Maha Mulia Ratu dan jawatan saya akan diserahkan kepada pemimpin Konservatif yang baharu," kata Johnson di hadapan 10 Downing Street, dihadiri beberapa Ahli Parlimen Tory, penjawat awam dan kumpulan petugas media.
Sambil berkata beliau akan terus bergiat aktif dalam politik Britain, Johnson berkata: "Biar saya katakan bahawa saya kini seperti salah satu roket yang telah memenuhi tugasnya dan saya kini akan memasuki semula atmosfera secara perlahan-lahan dan menjunam ke bawah hingga sampai ke satu tempat terpencil di Pasifik."
Dia berikrar bahawa peralihan kepimpinan kepada Perdana Menteri Liz Truss akan berjalan lancar serta "tiada apa-apa selain sokongan padu."
Bercakap tentang peranan barisan Kabinetnya ketika menjadi kerajaan, Johnson memuji pasukannya sebagai "sekumpulan penjawat awam yang hebat, individu yang mampu menyelesaikan Brexit, dan melancarkan pemberian vaksin terpantas di Eropah."
Sambil menyalahkan "konflik ganas" Rusia ke atas Ukraine hingga krisis tenaga melanda Eropah, Johnson berkata UK mempunyai "kekuatan daripada segi ekonomi untuk memberi wang tunai kepada mereka yang memerlukan untuk mengharungi krisis tenaga ini."
"Saya tahu bahawa Liz Truss, dan kerajaan Konservatif akan melakukan segala yang termampu untuk membawa orang ramai melepasi krisis ini dan kami akan menang," katanya.
Johnson mengakui bahawa seluruh rakyat UK menghadapi "masa yang sukar."
"Kami boleh dan kami akan melaluinya. Kami akan tampil lebih kuat. Saya ingin katakan kepada rakan-rakan Konservatif saya, sudah tiba masanya tamatkan politik.
"Sudah tiba masanya untuk kita semua berada di belakang Liz Truss dan pasukannya serta menyokong programnya untuk berbakti kepada rakyat negara ini," katanya.
"Saya akan menyokong Liz Truss dan kerajaan baharu dalam setiap langkahnya."
Johnson menyampaikan ucapan perpisahannya sejurus sebelum ke Scotland untuk menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada Ratu Elizabeth II.
-- BERNAMA