Sami dan budak 9 tahun antara lima maut ditembak di Pattani

Astro Awani
Februari 13, 2014 12:47 MYT
Lima orang ditembak mati termasuk seorang budak lelaki berumur 9 tahun dan seorang sami Buddha di wilayah selatan Thailand dalam insiden serangan yang dipercayai tindakan balas dendam.
Empat lelaki bermotorsikal melepaskan tembakan ke arah sami Buddha itu di Mae Lan dalam daerah Pattani pada pagi Khamis dan turut membunuh tiga penduduk kampung dan kanak-kanak lelaki itu.
Enam orang turut cedera termasuk seorang anggota polis yang mengawal sami berkenaan.
Serangan pada Khamis itu menyusul satu serangan lain pada Rabu juga di Pattani apabila seorang wanita beragama Buddha yang pulang kerja dengan menaiki motorsikal ditembak mati dan mayatnya dibakar, kata polis seperti dipetik oleh AFP.
Menurut laporan itu, penyerang wanita berkenaan meninggalkan sekeping nota di tempat kejadian dengan mesej: "Kepada ketua tentera: ini bukan mayat terakhir untuk tiga beradik itu"
Tiga beradik itu yang berumur tiga,lima dan sembilan tahun ditembak mati di depan rumah mereka di Narathiwat selepas balik dari masjid minggu lalu.
Ibu mereka yang sedang mengandung serta ayah juga ditembak tetapi terselamat.
Dalam kejadian balas dendam sebelumnya, isteri seorang anggota polis ditembak mati dan dibakar di tengah pasar pada Isnin.
#keganasan #krisis #Narathiwat #Pattani #selatan thailand
;