KUALA LUMPUR: Bulan Ramadan antara bulan keberkatan, bulan ibadah buat umat Islam di seluruh dunia.

Beribadah sepanjang Ramadan antara kunci utama umat Islam bagi mendapat reda Ilahi, di samping menambah amalan ke jalan Allah SWT.

Di Malaysia, selain beribadah, pelbagai aktiviti dijalankan masyarakat bagi memeriahkan sambutan Ramadan.

Antaranya, bazar Ramadan, yang mempunyai daya penarik dalam kalangan masyarakat untuk mendapatkan juadah berbuka puasa.

Bukan hanya umat Islam, malahan rakyat Malaysia berbilang kaum dan bangsa turut meraikan kemeriahan bazar Ramadan. 

Bazar Ramadan sering menjadi tumpuan rata-rata masyarakat dan umat Islam di negara Asia. Gambar: Fail


Tidak kurang hebatnya, sambutan Ramadan di negara seberang seperti Brunei Darussalam, Singapura dan Indonesia, yang juga punyai keunikan tersendiri.

Brunei

Ketika bulan Ramadan, masyarakat dilarang makan dan minum di restoran dan kedai makan pada siang hari, bagi menghormati umat Islam berpuasa.

Berbuka puasa di masjid menjadi pilihan kebanyakan umat Islam, berbanding di rumah.

Waktu bekerja sektor awam dipendekkan, sebagai contoh Isnin hingga Khamis bermula jam 8 pagi hingga 2 petang sahaja.

Istana Nurul Iman dibuka buat semua umat Islam di Brunei untuk menunaikan solat sunat Tarawih. Gambar: Media sosial

Waktu bekerja bagi sektor swasta pula dikurangkan satu jam bagi memberi laluan kepada umat Islam bersedia berbuka puasa.

Kurma Nabi diedarkan secara besar-besaran di seluruh Brunei oleh Sultan Brunei. Setiap rakyat termasuk warga asing akan diberikan satu kotak kurma. Kurma itu dipanggil 'Kurma Kurnia Sultan'.

Sepanjang Ramadan, golongan kurang berkemampuan akan diberikan Kurnia Sultan iaitu bantuan kewangan sebanyak 1,000 Ringgit Brunei (BND). 

Tembakan meriam di Bandar Seri Bengawan pada malam pertama Ramadan. Gambar: Media Sosial

Di Bandar Seri Bengawan, tembakan meriam dilepaskan pada malam pertama Ramadan.

Sepanjang Ramadan, Istana Nurul Iman dibuka kepada umum untuk melaksanakan solat sunat tarawih.

Indonesia

Di Indonesia pula, sambutan Ramadan sangat meriah terutama di wilayah-wilayah negara itu. Setiap suku kaum, ada tradisi tersendiri untuk meraikan bulan mulia ini.

Ini lima tradisi yang dijalankan di Indonesia sempena bulan Ramadan:

Mengikut masyarakat setempat, tradisi punggahan ini dilakukan bagi menaikkan darjat manusia ketika menjalani ibadah di bulan Ramadan. Gambar: Media Sosial

Punggahan - Sumatera Utara

Punggahan merupakan tradisi menyambut Ramadan di Sumatera Utara. Mengikut masyarakat setempat, tradisi punggahan ini dilakukan bagi menaikkan darjat manusia ketika menjalani ibadah di bulan Ramadan.

Punggahan dilakukan dengan membawa makanan dan berkumpul bersama berbuka puasa di masjid.

Punggahan juga diraikan dengan menyembelih haiwan ternakan seperti kerbau dan lembu 32 hari sebelum hari pertama Ramadan.

Meugang adalah tradisi menyembelih haiwan ternakan seperti kambing, lembu selama tiga kali dalam tempoh setahun. Gambar: Media Sosial

Meugang - Aceh

Meugang adalah tradisi menyembelih haiwan ternakan seperti kambing, lembu selama tiga kali dalam tempoh setahun. Tradisi Meugang mula dipraktikkan Kerajaan Aceh sejak 1607-1636 masihi.

Kebiasaannya tradisi ini dilakukan bagi menyambut bulan Ramadan, Hari Raya Aidiladha dan Hari Raya Aidilfitri.

Masyarakat setempat akan memasak bersama-sama di rumah dan kemudiannya dibawa ke masjid untuk berbuka puasa bersama.

Setiap Ramadan, masyarakat Jawa akan menjalankan tradisi nyadran, iaitu aktiviti membersihkan kubur ahli keluarga. - Foto media sosial

Nyadran - Jawa

Setiap kali meraikan bulan Ramadan, masyarakat Jawa khususnya di Jawa Tengah dan Yogjakarta akan menjalankan tradisi nyadran, iaitu aktiviti membersihkan kubur ahli keluarga.

Ia akan diikuti dengan majlis tahlil.

Tradisi ini dilakukan bagi memberi penghormatan kepada ahli keluarga yang telah tiada di samping membersihkan diri (dengan membersihkan kubur) menjelang bulan Ramadan.

Tradisi Padusan ini merupakan antara tradisi unik diamalkan di Jawa. Padusan merupakan aktiviti mandi dengan niat membersihkan atau menyucikan diri.  Gambar: Fail

Padusan - Jawa

Tradisi Padusan ini merupakan antara tradisi unik diamalkan di Jawa. Padusan merupakan aktiviti mandi dengan niat membersihkan atau menyucikan diri.

Tradisi ini biasanya dilakukan di tempat-tempat awam seperti di pantai ataupun sungai.

Aktiviti malamang dilakukan sebagai simbolik mempereratkan silaturahim antara ahli keluarga. - Gambar fail

Malamang - Sumatera Barat

Jika dilihat ejaannya ada persamaan dengan lemang iaitu makanan tradisi di Malaysia. Ya, Malamang pula merupakan tradisi di Sumatera Barat di mana aktiviti memasak lemang dijalankan secara beramai-ramai.

Aktiviti ini dilakukan sebagai simbolik mempereratkan silaturahim di antara keluarga sepanjang bulan Ramadan.

Konsepnya, setiap orang ada tugasan masing-masing, contoh seperti mencari buluh, menjaga kayu api, menyiapkan bahan-bahan lemang dan sebagainya.

Singapura

Bulan Ramadan juga tidak kurang hebatnya disambut umat Islam di Singapura.

Masjid-masjid diimarahkan selepas dua tahun pandemik COVID-19 melanda republik itu dan aktiviti ibadah secara beramai-ramai tidak dapat dilakukan.

Namun tahun ini, ibadah di bulan Ramadan lebih meriah dengan pelbagai inisiatif dijalankan masyarakat setempat.

Contohnya di Masjid Al-Firdaus di daerah Choa Chu Kang, khidmat bas ulang-alik digunakan bagi memudahkan jemaah hadir ke masjid untuk beribadah terutama menunaikan solat sunat tarawih. 

Masjid Al-Firdaus menggunakan khidmat bas ulang-alik bagi memudahkan jemaahnya hadir ke masjid untuk beribadah. - Foto media sosial

JENDELA RAMADAN AL-MUBARAK

Sebuah bas yang disewa khas, akan mengambil jemaah di 18 perhentian bas berhampiran daerah itu. Bas terbabit boleh menempatkan 75 jemaah pada satu masa.

Khidmat bas ulang-alik itu diteruskan bermula 1 Ramadan sehingga 1 Syawal.

Untuk rekod, sebanyak 1.8 juta ruang solat disediakan bagi umat Islam di seluruh Singapura bagi mengerjakan solat sunat tarawih setiap hari.

Bazar Ramadan

Seperti di Malaysia, setiap kali tibanya bulan puasa, bazar-bazar Ramadan antara yang paling ditunggu umat Islam di Singapura.

Bagi tahun ini, lebih banyak kawasan bazar Ramadan diperkenalkan bagi membantu umat Islam menjana pendapatan di bulan mulia ini.

Bazar Ramadan menjadi tarikan utama masyarakat setempat dan umat Islam di Singapura setiap kali tibanya Ramadan. Gambar: Media sosial

Antara kawasan yang popular ialah di Geylang Serai dan Kampong Gelam. 

Begitu juga di Dewan MIURA, laman pengantin di Jalan Joo Chiat, yang sebelum ini merupakan lokasi utama majlis persandingan, kini bertukar wajah menjadi tarikan pengunjung di bulan Ramadan.

Turut dijadikan bazar Ramadan, ruangan di Lapangan Terbang Changi yang menempatkan 20 gerai menjual pelbagai barangan keperluan Ramadan dan Syawal.

Di timur Singapura pula, bazar Ramadan Downtown East turut menjadi tarikan.

Selain itu, satu lagi kawasan tumpuan bazar Ramadan buat umat Islam di Singapura ialah Bazar Le.git Mall di kawasan perindustrian Woodlands.

Sebanyak 200 produk makanan, barangan keperluan Ramadan dan Syawal turut dijual di bazar ini.