Salman Rushdie tidak lagi bergantung pada ventilator, sudah boleh bercakap

Astro Awani
Ogos 14, 2022 13:00 MYT
Salman Rushdie menunjukkan tindak balas positif apabila dia tidak lagi bergantung kepada mesin ventilator. - Gambar fail/REUTERS
WASHINGTON: Pengarang kontroversi Salman Rushdie dilapor menunjukkan tindak balas positif apabila penulis buku itu tidak lagi bergantung kepada mesin ventilator dan mungkin sudah boleh bercakap.
Perkara itu disahkan oleh agen kepada Salman, Andrew Wylie, lapor The Washington Post
Namun demikian, tiada sebarang penjelasan lanjut diberikan mengenai keadaan Salman yang mengalami kecederaan serius dan berkemungkinan buta sebelah mata selain kerosakan saraf di lengan serta luka di hati.
Ketika kejadian, polis berkata, Salman, 75, sedang bersedia untuk menyampaikan syarahan mengenai kebebasan artistik di Institusi Chautauqua di barat New York.
Namun secara tiba-tiba seorang lelaki bergegas ke pentas dan menikam penulis kelahiran India itu.
Suspek serangan — dikenal pasti sebagai Hadi Matar, 24, dari Fairview, New Jersey — ditahan anggota tentera di lokasi kejadian selepas bergelut.
Hadi ketika dihadapkan ke mahkamah bagaimanapun mengaku tidak bersalah di atas pertuduhan menikam penulis kontroversi itu sebanyak 10 kali.
Insiden itu dikutuk penulis dan ahli politik di seluruh dunia yang menyifatkan ia serangan ke atas kebebasan bersuara.
#Salman Rushdie #penulis kontroversi #The Satanic Verses #Hadi Matar
;