Salman Rushdie buta sebelah mata
Astro Awani
Oktober 24, 2022 10:00 MYT
Oktober 24, 2022 10:00 MYT
NOVELIS Salman Rushdie kini buta sebelah mata dan hanya berupaya menggunakan sebelah tangan susulan insiden tikaman di New York pada Ogos lepas.
Ejennya, Andrew Wylie berkata, Salman turut menderita lebih 15 parut di dadanya kerana serangan berkenaan.
Bagaimanapun Wylie tidak mendedahkan lokasi terkini di mana Salman berada.
Wylie berkata, penulis buku itu juga alami kerosakan saraf di lengan serta luka di hati.
Dalam kejadian pada 13 Ogos lepas, Salman, 75, sedang bersedia untuk menyampaikan syarahan mengenai kebebasan artistik di Institusi Chautauqua di barat New York.
Namun secara tiba-tiba seorang lelaki bergegas ke pentas dan menikam penulis kelahiran India itu.
Serentak itu, suspek serangan, dikenal pasti sebagai Hadi Matar, 24, dari Fairview, New Jersey, ditahan anggota tentera di lokasi kejadian selepas berlaku pergelutan.
Dia kemudiannya mengaku tidak bersalah di atas pertuduhan menikam penulis kontroversi itu sebanyak 10 kali semasa dihadapkan ke Mahkamah New York.
Insiden itu dikutuk penulis dan ahli politik di seluruh dunia yang menyifatkan ia serangan ke atas kebebasan bersuara.
Rushdie sebelum ini pernah menerima ugutan bunuh kerana penulisan bukunya, The Satanic Verses yang menghina kitab suci Al-Quran.
Buku kontroversi itu telah diharamkan di beberapa buah negara selain fatwa hukuman bunuh terhadapnya turut dikeluarkan pemimpin Iran, Ayatollah Khomeini pada 1998.