Salji tebal sebabkan gangguan di Jerman dan Perancis, Menara Eiffel ditutup

Bernama
November 22, 2024 21:29 MYT
Perkhidmatan kereta api juga terganggu di Perancis, manakala 200,000 isi rumah turut terputus bekalan elektrik disebabkan cuaca. - Reuters
KARLSRUHE: Salji lebat melanda beberapa kawasan di barat Eropah, menyebabkan gangguan serius kepada lalu lintas dan memaksa Menara Eiffel ditutup buat sementara waktu, lapor agensi berita Jerman dpa.
Perkhidmatan kecemasan di negeri Baden-Wurttemberg di barat daya Jerman digerakkan untuk membantu lebih daripada 380 insiden berkaitan cuaca dalam tempoh 18 jam, kata polis pada Jumaat.
Jurucakap polis berkata sekurang-kurangnya 30 orang cedera, kebanyakannya mengalami kecederaan ringan, dengan kerosakan melebihi EUR1 juta (AS$1.04 juta).
Kawasan yang paling teruk terjejas ialah bandar Freiburg dan Constance, yang mana polis dipanggil bagi menangani masing-masing 135 dan 140 operasi berkaitan cuaca antara petang Khamis dan pagi Jumaat, menurut mereka.
Di wilayah Perancis yang bersempadan Jerman, sekitar 1,750 lori terkandas di lebuh raya, dengan wilayah utara Burgundy dan Normandy yang paling terjejas, kata Menteri Pengangkutan Francois Durovray kepada stesen penyiar BFMTV.
Ratusan kenderaan berat terkandas di laluan yang sukar selepas pemandu dikatakan tidak mengendahkan larangan berkaitan keadaan cuaca. Ramai pemandu terpaksa bermalam di dalam kenderaan mereka.
Perkhidmatan kereta api juga terganggu di Perancis, manakala 200,000 isi rumah turut terputus bekalan elektrik disebabkan cuaca, menurut syarikat utiliti Enedis.
Di Paris, Menara Eiffel ditutup sementara waktu kepada pengunjung selepas dilitupi salji.
-- BERNAMA
#Jerman #Perancis #salji tebal #musim salji #Menara Eiffel
;