Salji runtuh di Iran, pasukan penyelamat temui mayat ke-12

Bernama
Disember 28, 2020 05:10 MYT
Beg mayat mengandungi mangsa runtuhan salji dilihat di luar helikopter penyelamat di Iran, 26 Dis, 2020. (Foto AP)
TEHRAN: Sekurang-kurangnya 12 pendaki ditemui mati di kawasan pergunungan Tehran, Iran selepas ribut salji melanda kawasan itu, memetik sumber penyelamat dan polis pada Ahad.
Tiga kejadian berasingan berlaku di daerah Kolakchal, Ahar, dan Darabad pada Jumaat ketika ribut tiba-tiba mencetuskan runtuhan salji, memaksa gerakan misi mencari dan menyelamat dilancarkan, lapor Agensi Berita Xinhua.
Selepas tiga hari usaha mencari, pasukan Bulan Sabit Merah di Tehran pada Ahad menghentikan operasi dan berjaya menyelamatkan 14 mangsa yang terperangkap di kawasan tanah tinggi di utara ibu kota itu dan menemui 11 mayat.
Pada hari sama, polis di daerah Kolakchal menyatakan mereka menemui mangsa runtuhan salji ke-12, menurut agensi berita Tasnim.
-- BERNAMA
#Runtuhan salji #pendaki #kawasan pergunungan #ribut #salji #SAR #mencari dan menyelamat #Bulan Sabit Merah #Tehran #mayat #tanah tinggi #polis #Iran #Kolakchal #Ahar #Darabad #runtuhan