Salji luar biasa selubungi Seoul
Sinar Harian
November 30, 2024 09:40 MYT
November 30, 2024 09:40 MYT
SEOUL: Laluan pejalan kaki diselaputi salji tebal sehingga mengganggu lalu lintas di sekitar Seoul.
Laluan pejalan kaki diselaputi salji tebal sehingga mengganggu lalu lintas di sekitar Seoul.
Jalan ditutup, penerbangan dibatalkan, jadual kereta api bawah tanah ditunda.
Lebih 20 sentimeter (cm) salji menyelubungi bahagian Seoul pada Rabu yang menyaksikan lalu lintas terganggu sehingga menjejaskan aktiviti harian penduduk di ibu negara Korea Selatan itu.
Agensi cuaca kebangsaan mengeluarkan amaran salji tebal di ibu negara yang meliputi Wilayah Gyeonggi dan hampir semua bahagian negara.
Pada masa sama mereka meramalkan lebih banyak salji berlaku pada Khamis.
Menurut Pentadbiran Meteorologi Korea (KMA), daerah Seongbuk dan Gangbuk di utara Seoul menerima lebih 20 sentimeter salji sehingga pagi Rabu.
Tidak ketinggalan daerah lain di ibu negara turut menyaksikan salji tebal sehingga lebih 10 cm.
Pada jam 3 petang Rabu, salji setebal 18 cm melanda Balai Cerap Meteorologi Seoul di daerah Jongno selaku pusat pemerhatian cuaca rasmi Korea Selatan.
Peristiwa ini menandakan ia sebagai salji paling lebat berlaku pada November sejak pemerhatian cuaca moden direkodkan bermula pada Oktober 1907.
Rekod sebelumnya ialah 12.4 sentimeter yang dicatatkan pada 28 November 1972.
Selepas sejumlah besar salji turun pada waktu awal pagi, agensi cuaca mengeluarkan amaran salji lebat bakal melanda Seoul pada 11.20 pagi.
Amaran itu dikeluarkan apabila sekurang-kurangnya 20 sentimeter salji dijangka turun dalam tempoh 24 jam akan datang.
Salji tebal menyebabkan kemalangan, penutupan jalan raya dan gangguan lalu lintas di banyak bahagian negara.
Setakat ini, tiga orang dilaporkan terkorban akibat bencana salji luar biasa ini.
Pihak berkuasa penyelamat menerima lebih 150 laporan mengenai kemalangan jalan raya, jalan raya berais dan kecederaan akibat terjatuh.
Di daerah Seongbuk, sebatang pokok tumbang di kabel bekalan kuasa yang memutuskannya dan menyebabkan bekalan elektrik di 200 isi rumah terjejas.
Sementara itu, lebih 40 penerbangan domestik dan antarabangsa telah dibatalkan manakala 200 lagi telah ditangguhkan, menurut Korea Airports Corp dan Incheon International Airport Corp.
Kereta api bawah tanah Seoul di laluan 9 juga mengalami kelewatan sehingga sembilan minit semasa waktu sibuk pagi yang turut menyebabkan kesesakan penumpang di platform stesen tersebut.
Sebagai tindak balas, Kerajaan Metropolitan Seoul memutuskan untuk mengendalikan lebih banyak kereta api bawah tanah dan bas pada waktu sibuk sehingga pagi Khamis untuk mengurangkan kesesakan jalan raya.
Kerajaan bandar melaksanakan langkah pengurusan keselamatan di kemudahan pengangkutan, termasuk membuang salji di pintu masuk stesen kereta api bawah tanah dan perhentian bas bagi untuk mengelakkan kemalangan. - Sinar Harian memetik agensi