Salji lebat tidak bermusim ganggu lalu lintas waktu puncak di Seoul

Bernama
Mac 18, 2025 18:39 MYT
Seoul telah menerima 11.9 sentimeter (sm) salji pada 8:20 pagi, berbanding 13.8 sm di Uijeongbu, Wilayah Gyeonggi dan 19.9 sm di Goseong, Wilayah Gangwon. - AP
SEOUL: Salji lebat tidak bermusim melanda Seoul dan kawasan tengah awal pagi Selasa, mengganggu lalu lintas pada waktu puncak di seluruh kawasan ibu negara, lapor Agensi Berita Yonhap.
Di tengah-tengah nasihat salji lebat yang tidak dijangka yang dikeluarkan pada hari sebelumnya, Seoul telah menerima 11.9 sentimeter (sm) salji pada 8:20 pagi, berbanding 13.8 sm di Uijeongbu, Wilayah Gyeonggi dan 19.9 sm di Goseong, Wilayah Gangwon, menurut Pentadbiran Meteorologi Korea (KMA).
Ia dipercayai merupakan nasihat salji lebat yang paling lewat pernah dikeluarkan di Seoul.
Kesesakan lalu lintas berlaku di pelbagai bahagian di Seoul apabila kereta perlahan di jalan licin.
Purata kelajuan lalu lintas di tengah Seoul jatuh kepada 17.9 kilometer sejam setakat 7 pagi, menurut kerajaan bandar Seoul.
Salji itu turut menyebabkan banyak kemalangan dan perlanggaran antara kenderaan di sekitar ibu negara akibat jalan yang diseliputi ais.
Di Ansan, selatan Seoul, seorang lelaki Uzbekistan berusia 20-an maut dalam kemalangan kenderaan tunggal pada awal pagi Selasa, apabila keretanya merempuh pembahagi jalan akibat jalan yang licin.
Penerbangan juga terjejas, dengan empat penerbangan dijadualkan berlepas dari Gimpo, Pulau Jeju, Yeosu, dan Wonju dibatalkan kerana angin kencang dan proses penyahaisan pesawat, menurut Korea Airports Corp. Lima penerbangan lain ditangguhkan setakat 8 pagi.
Di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon, pintu masuk utama Korea Selatan, lima penerbangan ditangguhkan, tetapi tiada satu pun dibatalkan setakat 8 pagi, menurut pengendalinya.
Bagi mengurangkan waktu puncak pagi, Korea Railroad Corp. berkata ia telah menambah 14 perkhidmatan kereta api pada laluan kereta api bawah tanah di ibu negara.
Seorang pekerja syarikat, bernama Lee, 28, yang berulang-alik dari Seongnam, Wilayah Gyeonggi, ke Yeouido di barat Seoul, berkata kesesakan pada waktu pagi sangat ketara kerana ramai orang yang menggunakan kereta api bawah tanah itu.
Menurut KMA salji dijangka berhenti turun di seluruh negara pada lewat Selasa.
-- BERNAMA
#Seoul #salji lebat #gangguan lalu lintas #cuaca buruk #kemalangan
;