Salinan edisi pertama 'The Hobbit' dijual pada harga GBP10,000
Bernama
Julai 12, 2023 17:09 MYT
Julai 12, 2023 17:09 MYT
LONDON: Salinan edisi pertama The Hobbit karya JRR Tolkien dijual pada harga lebih GBP10,000 (AS$13,000) selepas dijumpai secara kebetulan di sebuah kedai amal Scotland, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Salinan buku terkenal jarang dijumpai yang menceritakan pengembaraan Bilbo Baggins itu, ditemukan oleh seorang pengurus perniagaan di Cancer Research United Kingdom (UK) di Dundee.
Walaupun model perniagaan kedai itu menjual item pada harga GBP5 atau lebih rendah, buku itu telah dijual di eBay - dan dijual pada harga GBP10,099.50.
Diterbitkan pada tahun 1937, buku itu merupakan satu daripada hanya 1,500 naskhah yang dikeluarkan dalam terbitan asalnya dan menampilkan ilustrasi hitam-putih oleh Tolkien sendiri.
Pengurus kedai Adam Carsley, yang menjumpai buku itu berkata pada awalnya dia menyangka bahawa salinan "dijaga dengan baik" itu "tidak boleh dijual kerana usianya".
Carsley pernah berada di Dundee Superstore sejurus sebelum pembukaannya untuk membantu dengan latihan pengurus baharu dan organisasi stok, termasuk ratusan buku di ruang belakang, ketika beliau menjumpai buku itu.
"Saya membuka halaman pertamanya dan melihat buku itu adalah edisi pertama dan menganggapnya layak dihantar kepada pasukan eBay.
"Pada mulanya, saya fikir kami akan mendapat maksimum GBP500 jika kami bernasib baik, jadi saya tidak percaya apabila saya mendengar beberapa bulan kemudian, ia telah dijual pada harga lebih GBP10,000."
Pastinya buku itu harga tertinggi yang dicapai di laman eBay kami untuk satu item. Sumbangan seperti ini membantu membiayai penyelidikan menyelamatkan nyawa di seluruh UK."
-- BERNAMA