Salah eja 'sosial', murid maut dipukul guru

Faida Rahim
September 28, 2022 14:47 MYT
Pelajar berusia 15 tahun itu dilaporkan meninggal dunia di sebuah hospital di Uttar Pradesh. - Videovo free photo
UTTAR PRADESH: Pihak berkuasa India sedang menjejaki seorang guru yang didakwa memukul seorang pelajar kasta rendah sehingga maut kerana kesilapan mengeja.
Memetik laporan TRT World, Nikhil Dohre didakwa dipukul dengan batang besi dan ditendang sehingga tidak sedarkan diri oleh suspek pada awal bulan ini.
Mangsa dipukul selepas gagal mengeja perkataan ‘sosial’ ketika dalam peperiksaan.
Pelajar berusia 15 tahun itu dilaporkan meninggal dunia di sebuah hospital di Uttar Pradesh.
Dalam pada itu, suspek dilaporkan sudah melarikan diri dari daerah Auraiya.
Pegawai polis, Mahendra Pratap Singh memaklumkan pihaknya sedang giat memburu suspek.
“Suspek boleh lari ke mana sahaja tetapi kami akan memburunya sehingga dapat,” katanya.
Insiden berkenaan mencetuskan protes ganas di daerah Auraiya yang dihadiri ratusan penunjuk perasaan turun ke jalanan bagi membantah perlakuan kejam itu.
#India #kes bunuh #pelajar #Penunjuk perasaan
;