Saksi skandal seks bekas PM Itali muncul kali pertama
Astro Awani
Januari 14, 2013 00:04 MYT
Januari 14, 2013 00:04 MYT
Saksi pihak pembela muncul untuk pertama kalinya memberi keterangan bagi perbicaraan skandal seks membabitkan bekas Perdana Menteri Itali, Silvio Berlusconi.
Dalam skandal tersebut, Karima El-Mahroug atau lebih dikenali sebagai Ruby didakwa telah dilanggan Berlusconi dalam satu parti seks sebelum ini.
Ruby ialah warga Maghribi berusia 17 tahun semasa Berlusconi didakwa melakukan hubungan seks dengannya.
Berlusconi juga didakwa cuba membayar wanita itu untuk menutup mulutnya.
Mahkamah pernah mendenda Ruby kerana gagal hadir di mahkamah sebagai saksi dalam prosiding sebelum ini.
Kes ke atas Berlusconi itu membayangi kempen pilihan raya Itali yang bakal diadakan pada 24 dan 25 Februari depan.
Sebelum ini, peguam bela meminta kes itu ditangguhkan disebabkan tempoh kempen itu.
Namun, permohonan itu ditolak pihak pendakwa raya atas alasan kes itu membabitkan peribadi Berlusconi dan tiada kena mengena dengan pilihan raya.
Pendakwa raya akan membuat hujahan penutup pada 28 Januari ini dan diikuti oleh pihak pembela pada 4 Februari.
Ruby dikatakan saksi terakhir yang akan memberi keterangan dalam kes tersebut.
Ini bermakna keputusan kes akan diketahui sebelum tarikh pilihan raya.
Berlusconi turut bertanding dalam proses itu atas tiket parti campuran tengah kanan.