Saksi kes perbicaraan Netanyahu maut, Greece jalankan siasatan nahas pesawat
Astro Awani
September 14, 2021 07:35 MYT
September 14, 2021 07:35 MYT
SAMOS: Pihak berkuasa Greece menjalankan siasatan terhadap nahas pesawat persendirian dari Israel yang mengorbankan saksi pendakwaan dalam perbicaraan rasuah bekas Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.
Bekas pegawai kanan Kementerian Komunikasi Israel, Haim Geron, dan isterinya Esthery, terbunuh dalam nahas yang berlaku di Pulau Samos pada Isnin lalu.
Geron merupakan salah seorang daripada lebih dari 300 saksi untuk perbicaraan Netanyahu atas tuduhan rasuah.
Dalam kejadian Isnin lalu, pesawat Cessna 182 yang berlepas dari Haifa, Israel, terhempas berhampiran Lapangan Terbang Samos.
Menurut pihak berkuasa, pesawat ringan itu terputus komunikasi dengan menara kawalan sebelum ia terhempas.
Mayat kedua-dua mangsa ditemui pengawal pantai beberapa jam selepas nahas dengan bantuan penyelam.