Saintis Vietnam temukan spesies siput baharu di gua terbesar dunia

Bernama
Januari 15, 2025 20:45 MYT
Para saintis Vietnam telah menemui spesies siput baharu yang diberi nama sebagai siput kon Son Doong di Gua Son Doong. - Gambar Sinar Harian
HANOI: Saintis Vietnam telah menemukan spesies siput baharu di Gua Son Doong dalam Taman Negara Phong Nha - Ke Bang di wilayah tengah Quang Binh, dan menamakannya sebagai "Oc non Son Doong" (siput kon Son Doong), lapor Agensi Berita Vietnam (VNA).
Spesies siput darat itu, yang secara saintifik dipanggil Calybium plicatus sp. nov., tergolong dalam genus Calybium, keluarga Helicinidae, order Cycloneritida dan kelas Gastropoda dalam alam Animalia.
Penemuan itu dibuat semasa projek peringkat negeri untuk mengkaji biodiversiti dalam sistem Gua Son Doong untuk pemuliharaan dan pembangunan mampan, yang dilaksanakan oleh Muzium Alam Semula Jadi Vietnam di bawah Akademi Sains dan Teknologi Vietnam.
Timbalan Ketua Pengarah muzium dan ketua projek, Profesor Madya Dr Vu Van Lien berkata Calybium plicatus sp. nov. mempunyai cangkerang yang menyerupai Calybium massiei Morlet, 1892, tetapi saiznya lebih kecil dan mempunyai enam plat atas. Penemuan ini menandakan spesies gastropod darat pertama yang direkodkan di Vietnam.
Beliau berkata hasil penyelidikan mengenai spesies baharu itu telah diterbitkan dalam Jurnal Ruthenica, Jilid 35, Isu 1 (2025), sekali gus meningkatkan nilai saintifik dan perhatian antarabangsa terhadap ekosistem unik Taman Negara Phong Nha - Ke Bang.
Pengarah Lembaga Pengurusan taman itu Pham Hong Thai memuji penyelidikan berkenaan sambil menyatakan bahawa ia memberikan sumbangan saintifik penting yang akan membantu taman berkenaan mengurus dan melindungi Gua Son Doong serta gua di sekitanya secara mampan.
Projek itu juga telah mewujudkan pangkalan data biodiversiti yang komprehensif untuk sistem Gua Son Doong dan kawasan sekitarnya, mengukuhkan kepentingan global taman berkenaan bukan sahaja dari segi geologi dan pemandangan tetapi juga biodiversiti dan nilai estetika uniknya, tambah beliau.
Gua Son Doong, yang terletak di hutan Phong Nha - Ke Bang di Quang Binh, pertama kali ditemui oleh seorang penduduk tempatan pada 1990. Pada 2009, ia diterokai dan disahkan oleh Persatuan Penyelidikan Gua British sebagai gua terbesar di dunia.
Taman Negara Phong Nha - Ke Bang kini merekodkan 2,954 spesies tumbuhan yang lebih tinggi, terdiri daripada 1,007 genus, 198 keluarga, 63 order, 12 kelas dan enam filum, termasuk 111 spesies dalam Buku Data Merah Spesies Terancam Vietnam dan 121 dalam Senarai Merah Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam (IUCN).
Ia juga merekodkan 1,399 spesies haiwan daripada 835 genus, 289 keluarga, 66 order, 12 kelas dan empat filum, termasuk 82 spesies dalam Buku Data Merah Vietnam dan 116 dalam Senarai Merah IUCN.
-- BERNAMA
#spesies terancam #siput darat #sumbangan saintifik #nilai estetika
;