Saintis temui koridor tersembunyi dalam Piramid Giza

Astro Awani
Mac 3, 2023 11:30 MYT
Koridor tersembunyi yang ditemui dalam Piramid Giza menerusi pelaksanaan projek imbasan 'Scan Pyramid'. - Foto REUTERS
KAHERAH: Koridor tersembunyi sepanjang sembilan meter ditemui berhampiran pintu masuk utama Piramid Giza yang berusia 4,500 tahun dan membawa kepada penemuan lanjut.
Menurut Pegawai Antik Mesir, ia ditemui susulan pelaksanaan projek imbasan piramid sejak 2015 menggunakan teknologi bukan invasif termasuk termografi inframerah, simulasi 3D dan endoskop untuk meninjau bahagian dalam struktur itu.
Piramid itu dibina sebagai makam sekitar 2560 Sebelum Masihi ketika pemerintahan Firaun Khufu atau Cheops pada ketinggian 146 meter.
Ia adalah struktur tertinggi dibangunkan manusia sebelum pembinaan menara Eiffel di Paris pada 1889.
Ketua Majlis Tertinggi Karya Kuno Mesir, Mostafa Waziri berkata, koridor belum siap itu mungkin dibina bagi mengimbangkan berat piramid sama ada di pintu masuk utama terletak hampir tujuh meter jauhnya atau ruangan lain yang belum ditemui.
Beliau berkata, lima bilik di atas ruang pemakaman raja di bahagian lain piramid juga dianggap dibina bagi mengimbangkan berat struktur itu selain ada kemungkinan firaun memiliki lebih daripada satu ruang pengebumian.
Saintis menemui kewujudan koridor berkenaan menggunakan radar dan ultrabunyi sebelum mendapatkan semula imejnya dengan memasukkan endoskop setebal enam milimeter dari Jepun melalui sambungan kecil di piramid itu.
Pada 2017, penyelidik Scan Pyramid mengumumkan penemuan sekurang-kurangnya struktur dalaman utama pertama dengan 30 meter panjang di dalam piramid.
#piramid giza #koridor tersembunyi #Firaun Khufu #Mostafa Waziri
;