Saintis kenal pasti perbezaan genetik baharu dalam pesakit COVID yang teruk

Astro Awani
Mac 8, 2022 08:51 MYT
Pasukan kecemasan menolak troli berdekatan beberapa buah ambulans di Royal London Hospital. - Foto AP
SAINTIS menemui 16 varian genetik baharu pada individu yang menghidapi gejala teruk COVID-19 dalam satu kajian diterbitkan pada Isnin.
Kajian tersebut dapat membantu penyelidik membangunkan rawatan untuk pesakit COVID-19 bergejala teruk.
Keputusan menunjukkan individu yang mempunyai gejala teruk COVID-19 mempunyai genetik yang menyebabkan mereka terdedah kepada satu daripada dua masalah.
Antaranya kegagalan untuk menghadkan keupayaan virus membuat salinan dirinya sendiri atau keradangan yang berlebihan dan pembekuan darah.
Kajian itu diterbitkan di dalam Jurnal Nature dan boleh membantu mengutamakan kemungkinan rawatan yang dapat melawan penyakit itu.
Maklumat tersebut juga boleh membantu meramalkan pesakit mana yang mungkin mendapat gejala teruk.
Menurut perunding perubatan Penjagaan Kritikal Universiti Edinburgh dan penulis kajian itu, Kenneth Baillie, kemungkinan pada masa hadapan pihaknya dapat membuat ramalan tentang pesakit berdasarkan genom mereka pada untuk penjagaan kritikal.
Analisis genetik hampir 56,000 sampel daripada individu di Britain menunjukkan perbezaan dalam 23 genetik pesakit COVID-19 yang kritikal jika dibandingkan dengan DNA kumpulan lain yang termasuk dalam kajian itu.
Ini termasuk 16 perbezaan yang belum dikenal pasti sebelum ini.
Penemuan baharu ini boleh membantu membimbing saintis dalam mencari ubat sedia ada yang mungkin berguna untuk merawat COVID-19.
Sebagai contoh, penyelidik mendapati perubahan dalam genetik utama yang mengawal protein yang terlibat dalam membentuk bekuan darah.
Kata Baillie, pembekuan darah adalah salah satu sebab utama pesakit yang menghidap COVID-19 mengalami kekurangan oksigen.
Jadi ia berpotensi untuk disasarkan untuk menghalang pembekuan itu daripada terbentuk.
#COVID-19 #varian genetik #gejala teruk #rawatan
;