Saintis Jepun guna sel burung unta cipta pelitup muka kesan virus COVID-19

Astro Awani
Disember 11, 2021 11:04 MYT
Presiden Universiti Prefektur Kyoto dan doktor perubatan veterinar Yasuhiro Tsukamoto memegang telur burung unta di Kyoto, Jepun. - Foto Universiti Wilayah Kyoto
TOKYO: Saintis Jepun telah membangunkan pelitup muka yang menggunakan antibodi burung unta untuk mengesan COVID-19 dengan bercahaya di bawah cahaya ultraviolet.
Penemuan oleh Yasuhiro Tsukamoto dan pasukannya di Universiti Prefektur Kyoto di barat Jepun boleh menyediakan ujian kos rendah virus di rumah,
Para saintis bermula dengan mencipta penapis pelitup muka yang disalut dengan antibodi burung unta yang menyasarkan novel koronavirus, berdasarkan penyelidikan terdahulu yang menunjukkan burung mempunyai daya tahan yang kuat terhadap penyakit.
Dalam kajian kecil, subjek ujian memakai pelitup muka dan selepas lapan jam, penapis dikeluarkan dan disembur dengan bahan kimia yang bersinar di bawah cahaya ultraviolet jika virus itu dikesan.
Penapis yang dipakai oleh individu yang dijangkiti COVID-19 bersinar di sekitar kawasan hidung dan mulut.
Pasukan itu berharap untuk membangunkan lagi pelitup muka tersebut supaya ia akan bersinar secara automatik tanpa pencahayaan khas, jika virus itu dikesan.
Tsukamoto, seorang profesor veterinar dan presiden universiti, telah mengkaji burung unta selama bertahun-tahun mencari cara untuk menyesuaikan imuniti mereka bagi melawan selesema burung, alahan dan penyakit lain.
Tsukamoto memberitahu agensi berita Kyodo bahawa dia mendapati dirinya positif untuk COVID-19 selepas dia memakai salah satu topeng khas dan mendapati ia bersinar apabila diperiksa.
Diagnosis disahkan selepas ujian standard.
#COVID-19 #pelitup muka #cahaya ultraviolet #Burung Unta
;