Saintis dedah gambaran penuh reptilia seperti naga berusia 240 juta tahun
Bernama
Februari 23, 2024 07:40 MYT
Februari 23, 2024 07:40 MYT
LONDON: Fosil reptilia marin Dinocephalosaurus orientalis yang dikatakan berusia 240 juta tahun buat pertama kali dapat digambarkan sepenuhnya hasil penyelidikan saintis, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Menurut penyelidik, reptilia itu memiliki leher yang panjang serta badannya bersisik dan ikan yang masih ada di dalam perutnya menunjukkan reptilia itu sesuai dengan kehidupan di laut.
Fosil itu ditemukan di wilayah Guizhou, selatan China dan mula dikenal pasti pada tahun 2003 berdasarkan penemuan spesimen tambahan yang lebih lengkap sejak itu, membolehkan pasukan saintis membuat gambaran penuh haiwan itu.
Nick Fraser dari Muzium Negara Scotland dan antara yang terlibat dalam kajian itu berkata penemuan tersebut membolehkan haiwan berleher panjang luar biasa itu "digambarkan".
"Kami pasti ia akan membangkitkan imaginasi berdasarkan penampilan yang menarik, mengingatkan mitos naga Cina yang panjang seperti ular," katanya.
Leher Dinocephalosaurus orientalis telah dibandingkan dengan leher Tanystropheus hydroides, satu lagi reptilia marin aneh dari zaman Trias Pertengahan di Eropah dan China.
Kedua-dua reptilia itu mempunyai saiz dan ciri tengkorak yang sama. Namun Dinocephalosaurus mempunyai lebih banyak vertebra di leher dan di bahagian badan, merupai ular.
Penyelidik dari Scotland, Jerman, Ameria Syarikat dan China mengakaji Dinocephalosaurus orientalis selama 10 tahun di Institute of Vertebrate Palaeontology and Palaeoanthropology, di Beijing.
-- BERNAMA