Saintis China yakin 99 peratus vaksin keluarannya berkesan rawat COVID-19

Astro Awani
Mei 30, 2020 08:28 MYT
Para saintis di China melahirkan keyakinan vaksin yang dibangunkan mereka 99 peratus berkesan untuk merawat COVID-19. -Gambar fail
Para saintis di China melahirkan keyakinan vaksin yang dibangunkan mereka 99 peratus berkesan untuk merawat COVID-19.
Vaksin tersebut dibangunkan oleh firma bioteknologi Sinovac yang berpusat di Beijing.
Firma itu mendakwa ketika ini mereka berada dalam fasa kedua percubaan kepada 1,000 peserta dalam ujian klinikal.
"Ini adalah vaksin COVID-19 yang sedang kami bangunkan dan inilah yang kami sebut sebagai jarum suntikan yang sudah diisi sebelumnya.
"Jadi apabila orang menggunakannya, ia lebih mudah; ini sangat termaju," kata jurucakap firma itu dalam temu bual bersama Sky News.
Firma itu juga mengesahkan sedang dalam perbincangan untuk melaksanakan percubaan fasa ketiga yang terakhir di United Kingdom (UK).
"Kami bercakap dengan wakil beberapa negara Eropah dan berbincang dengan United Kingdom. Pada masa ini, ia masih di peringkat awal perbincangan.
Sinovac juga sedang membangunkan kilang komersial di bahagian lain di Beijing bertujuan menghasilkan 100 juta dos apabila vaksin mendapat persetujuan akhir untuk proses pengedaran secara besar-besaran.
Bagaimanapun firma itu tidak mengesyorkan pengedaran kepada seluruh penduduk, sebaliknya memberi tumpuan kepada pekerja kesihatan dan warga tua yang menjadi penerima vaksin pertama.
"Cadangan kami, vaksin itu tidak diberi kepada semua penduduk. Kami menyasarkan kumpulan berisiko tinggi, misalnya pekerja kesihatan atau warga emas," kata jurucakap firma itu.
Walaupun begitu, vaksin tersebut tidak akan siap berbulan lagi dengan percubaan fasa dua berlangsung selama beberapa bulan sebelum memasuki fasa ketiga dan kemungkinan persetujuan peraturan.
#99 peratus #COVID-19 #koronavirus #Pekerja kesihatan #penerima vaksin pertama #percubaan fasa ketiga #percubaan klinikal #Sinovac #vaksin #warga tua
;