Saintis beri amaran 'hujan lebih lebat akibat pemanasan bumi'

Bernama
Januari 31, 2023 16:55 MYT
Hujan lebat dari pagi Jumaat hingga pagi Sabtu di Auckland menyebabkan banjir besar merentasi bandar terbesar di New Zealand. - Gambar fail/ AP
AUCKLAND: Saintis New Zealand (NZ) pada Selasa memberi amaran bahawa berdasarkan jumlah maksimum wap air di udara yang meningkat secara eksponen dengan suhu, potensi hujan yang melampau akan meningkat apabila iklim menjadi panas.
Auckland kini mencatat rekod sebagai bulan paling lembap yang pernah berlaku. Lebih 769 peratus daripada taburan hujan pada Januari biasa direkodkan setakat ini, kira-kira lebih satu pertiga daripada keseluruhan purata tahunan Auckland, dengan pusingan hujan lebat seterusnya berkemungkinan melanda lagi pada malam Selasa, lapor Xinhua.
"Bukan setiap ribut membawa banjir, tetapi apabila iklim panas, kejadian hujan akan menjadi lebih lebat," menurut Prof James Renwick dari Victoria University of Wellington.
Hujan lebat dari pagi Jumaat hingga pagi Sabtu di Auckland menyebabkan banjir besar merentasi bandar terbesar di New Zealand.
Perdana Menteri New Zealand Chris Hipkins berkata cuaca buruk itu berlaku disebabkan perubahan iklim.
Perkhidmatan meteorologi NZ, MetService turut mengeluarkan Amaran Hujan Lebat Tahap Merah untuk kawasan Auckland yang merekodkan 249 mm hujan dalam tempoh 24 jam sehingga 1 pagi Sabtu.
Rekod hujan 24 jam sebelum ini ialah 161.8 mm, sejak Februari 1985, menurut MetService. Amaran merah hanya dikeluarkan untuk situasi cuaca yang paling ketara.
Hujan berkenaan menyebabkan banjir besar yang meragut empat nyawa selain penutupan lebuh raya negeri serta Lapangan Terbang Auckland dan kerajaan mengisytiharkan darurat.
Prof Renwick berkata banyak kejadian hujan paling lebat di New Zealand dan tempat lain dikaitkan dengan "sungai atmosfera" yang bermaksud koridor lembapan yang luas yang menjangkau dari kawasan tropika ke latitud yang lebih tinggi.
-- BERNAMA
#saintis #New Zealand #hujan lebat #pemanasan bumi
;