Saifuddin gesa "kaedah baharu dan kreatif" bagi tangani konflik di Myanmar
Bernama
Jun 16, 2022 23:04 MYT
Jun 16, 2022 23:04 MYT
NEW DELHI: Malaysia pada Khamis menggesa kaedah "baharu dan kreatif" dalam usaha ke arah mencapai keamanan di Myanmar.
Berucap pada Mesyuarat Khas Menteri Luar ASEAN-India di New Delhi, Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata ASEAN dan Rakan Dialognya juga perlu segera menangani situasi kemanusiaan di Myanmar.
"Malaysia mengulangi mengenai perlunya cara baharu dan kreatif yang inklusif serta komprehensif untuk keamanan dan perdamaian, termasuk terlibat dengan Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG) Myanmar dan Majlis Perundingan Perpaduan Nasional (NUCC)," kata Saifuddin dalam satu kenyataan.
Pada mesyuarat itu ASEAN dan India sepakat untuk memperluas kerjasama dalam pelbagai bidang, termasuk perdagangan, pelaburan, kesalinghubungan dan keselamatan siber.
"Ketika negara sedang menuju ke arah pemulihan pasca COVID-19, adalah penting untuk merapatkan jurang digital, membangunkan modal insan dan pendigitalan, serta meningkatkan kemampanan dalam perdagangan dan pelaburan serta kesalinghubungan," kata Saifuddin.
Beliau berkata anggota ASEAN dan India mesti bekerjasama untuk mencapai potensi perdagangan dan perkongsian ekonomi dengan sepenuhnya serta mengukuhkan Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN-India.
-- BERNAMA
#Malaysia
#Konflik Myanmar
#Myanmar
#baharu dan kreatif
#Menteri Luar
#Saifuddin Abdullah
#ASEAN
#Mesyuarat Khas Menteri Luar ASEAN-India