AS sahkan kes baharu selesema burung H5 melibatkan manusia di California

Bernama
Oktober 4, 2024 11:00 MYT
Sehingga kini, 16 kes jangkitan selesema burung H5 melibatkan manusia dilaporkan di Amerika Syarikat pada 2024. - Gambar hiasan/REUTERS
LOS ANGELES: Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat mengesahkan dua kes jangkitan selesema burung H5 dalam kalangan manusia di California pada Khamis, lapor Xinhua.
CDC memaklumkan bahawa siasatan oleh pihak berkuasa California masih berlangsung.
Pada masa ini, tiada kaitan atau hubungan ditemukan antara kedua-dua kes di California, menunjukkan bahawa ini adalah kejadian berasingan penularan virus dari haiwan kepada manusia.
CDC terus bekerjasama rapat dengan pegawai kesihatan awam di California dan negeri lain bagi mengawal penyebaran H5N1 daripada haiwan yang dijangkiti kepada manusia.
Tahun ini, selesema burung H5N1 dikesan buat kali pertama pada lembu di Amerika Syarikat.
Virus ini tersebar meluas dalam kalangan burung liar dan mencetuskan wabak dalam kalangan haiwan ternakan di negara itu sejak 2022.
Ia juga menyebabkan jangkitan sporadik yang jarang berlaku pada individu yang bekerja dengan haiwan dijangkiti.
Sehingga kini, 16 kes jangkitan H5 melibatkan manusia telah dilaporkan di Amerika Syarikat pada 2024.
-- BERNAMA
#Influenza #bird flu #selesema burung #Amerika Syarikat
;