Saham AS merudum susulan tarif baharu terhadap Kanada, Mexico
Nabilah Khaleeda
Mac 5, 2025 08:45 MYT
Mac 5, 2025 08:45 MYT
Pada Isnin, indeks S&P 500 mencatatkan penurunan terbesar tahun ini selepas pengumuman tarif baharu AS. - Gambar fail/REUTERS
PASARAN saham Amerika Syarikat (AS) mengalami tekanan susulan tindakan Washington meningkatkan perang perdagangan dengan mengenakan tarif baharu terhadap Kanada dan Mexico.
Langkah ini dijangka memberi kesan besar kepada sektor utama seperti automobil, aeroangkasa, runcit dan perumahan.
Saham syarikat penerbangan dan perbankan menjadi antara yang paling terkesan, menyebabkan kejatuhan ketara di indeks utama Wall Street pada Selasa.
Sehari sebelumnya, indeks S&P 500 mencatatkan penurunan terbesar tahun ini selepas pengumuman tarif baharu AS.
Presiden AS, Donald Trump, mengenakan tarif 25 peratus ke atas import dari Mexico dan Kanada yang berkuat kuasa serta-merta, melibatkan lebih AS$900 bilion nilai import tahunan dari kedua-dua negara tersebut.
Dalam langkah berasingan, Trump turut menaikkan tarif ke atas import China kepada 20 peratus, sebagai tindak balas terhadap isu penyeludupan fentanyl yang dikaitkan dengan Beijing.
Sebagai tindakan balas, Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau, mengumumkan tarif 25 peratus ke atas barangan import AS bernilai 20.66 bilion dolar Kanada.
Trudeau turut memberi amaran bahawa lebih banyak barangan AS bernilai 125 bilion dolar Kanada boleh dikenakan tarif tambahan dalam tempoh tiga minggu jika perlu.
China juga tidak berdiam diri, apabila mengumumkan tarif tambahan antara 10 hingga 15 peratus terhadap beberapa import dari AS bermula 10 Mac.
Mexico pula dijangka bertindak balas dalam masa terdekat terhadap langkah AS ini.