AS sah pulangkan RM721.4 juta aset dirampas berkaitan 1MDB
Astro Awani
Jun 13, 2024 22:12 MYT
Jun 13, 2024 22:12 MYT
KUALA LUMPUR: Amerika Syarikat mengesahkan untuk memulangkan kira-kira RM721.4 juta (AS$156 juta) susulan beberapa aset yang dirampas berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kepada Kerajaan Malaysia.
Perkara itu disahkan Duta Amerika Syarikat ke Malaysia Edgard D Kagan dalam pertemuannya dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 11 Jun 2024.
Kedutaan Amerika Syarikat dalam kenyataan memaklumkan, pemulangan aset itu adalah transaksi kali keempat.
Pemulangan dana 1MDB berkenaan petisyen pengampunan kerajaan Malaysia yang diluluskan Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (U.S. Department of Justice).
Menurut Kagan, kerajaan AS berbesar hati dengan pemulangan aset yang dipercayai diseleweng dari negara ini.
"Kami berbesar hati pemulangan aset dari siasatan yang dijalankan Jabatan Keadilan AS. Amaun yang besar ini dikembalikan (ke Malaysia) di mana ia patut berada dan boleh dimanfaatkan dari matlamat asal iaitu untuk rakyatnya," kata Kagan.
Kerajaan AS akan terus komited untuk membantu dalam memulangkan dana yang diseleweng dari dana 1MBD untuk rakyat Malaysia, ujarnya.