Sah! Ia tsunami di Selat Sunda - Sutopo Purwo Nugroho
Hilal Azmi
Disember 23, 2018 08:15 MYT
Disember 23, 2018 08:15 MYT
Ketua Pusat Data dan Informasi Badan Bencana Nasional Indonesia (BNPB), Sutopo Purwo Nugroho mengesahkan kejadian yang mengorbankan 20 nyawa di Anyer, Banten, di Indonesia ialah tsunami.
Beliau memohon maaf menerusi Tweet-nya pada sebelum ini yang mengatakan ia satu kejadian gelombang air pasang.
"Data dan analisis terbaru membuktikan berlaku tsunami di Selat Sunda.
"Kita menunggu makluman terbaru daripada pihak Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) Indonesia untuk perkembangan lanjut," katanya menerusi tweet pada Ahad.
Beliau pada masa sama mengesahkan kejadian tsunami melanda pantai di Selat Sunda pada Sabtu sekitar jam 9:27 malam waktu tempatan atau 10:27 malam waktu Malaysia.
"Kemungkinan ada gelongsor plat bawah laut akibat ledakan gunung berapi Anak Krakatau dan ia bergabung dengan gelombang air pasang besar," jelasnya lagi.
Beliau menerusi Twitter turut menerangkan kenapa pada awalnya sukar untuk ditentukan kejadian yang berlaku adalah fenomena tsunami.
Sutopo menyifatkan fenomena sebegitu jarang-jarang berlaku kerana letupan gunung berapi yang terjadi tidak besar dan tiada gempa bumi yang boleh menjadi punca tsunami.