Sadis! Tembak mati isteri, ibu mertua sebelum bunuh diri
Astro Awani
Jun 23, 2020 15:01 MYT
Jun 23, 2020 15:01 MYT
Seorang akuantan bertauliah bertindak membunuh diri selepas menembak mati isteri dan ibu mertuanya di dua lokasi berasingan di India antara Jumaat dan Isnin lalu.
Portal tempatan, Times of India yang memetik Deputi Komisioner MN Anuchet berkata, pihaknya masih menyiasat punca kejadian.
Anechet berkata, kejadian itu dipercayai ada kaitan dengan isu perebutan harta memandangkan pasangan akauntan bertauliah itu dalam proses penceraian.
Sejak dua tahun yang lalu, pasangan itu tinggal berasingan di mana, Amit, 42 tahun, tinggal di Kolkata, manakala isterinya, Shilpi Agarwal, 36 tahun, menetap di Bengaluru bersama anak lelaki mereka yang berusia 10 tahun.
Berdasarkan maklumat awal, selepas menembak mati Shilpi pada Jumaat lalu, Amit dikatakan berpatah balik ke Kolkata, iaitu kira-kira 1,886 kilometer dari Bengaluru dan meninggalkan anaknya di rumah adik lelakinya sebelum ke rumah mertuanya di Phoolbagan, utara Kolkata kira-kira pukul 5.30 petang.
Beberapa minit lelaki itu memasuki rumah mertuanya yang terletak di Tower B, Rameshwaram Apartment, kedengaran bunyi bising dipercayai berlaku pertelingkaran berhubung isu dokumen harta.
Kira-kira sejam kemudian, jiran-jiran mendakwa mendengar bunyi tembakan, dan sejurus itu bapa mertua Amit, Subhas Dhandhania, 70, dilihat lari memasuki rumah jirannya mencari perlindungan sebelum menghubungi polis.
Setibanya polis di rumah itu, mayat Amit ditemukan di atas katil dipercayai menembak sendiri manakala ibu mertuanya, Lalitha, 62 tahun, di lantai.
"Kita turut menemukan sekeping nota ditulis Amit yang memaklumkan dia turut menembak mati isterinya di rumahnya di Bengaluru," kata sumber polis.
Katanya lagi, polis juga sedang menyiasat bagaimana Amit mendapat senjata revolver yang digunakan untuk menembak kedua-dua mangsa.
#Bengaluru
#harta
#Kolkata
#mayat
#membunuh
#nota
#perebutan harta
#revolver
#tembak mati
#Times of India