'Saat penyelamat muncul seperti magis' remaja terperangkap dalam Gua Tham Luang
Agensi
Julai 18, 2018 22:32 MYT
Julai 18, 2018 22:32 MYT
Teruskan berjuang dan jangan mengalah.
Itu ‘mantra’ yang digunakan kesemua 12 remaja dan seorang jurulatih pasukan bola sepak remaja Thailand yang terperangkap dalam Gua Tham Luang di Chiang Rai selama 17 hari.
Ini demi memastikan mereka terus hidup walaupun terpaksa berdepan dengan cabaran yang sukar apabila terperangkap dalam gua tersebut.
Menurut jurulatih pasukan ‘Wild Boar’, Ekkapol Chantawong, turutan mangsa yang dikeluarkan bukan mengikut keadaan kesihatan mereka pada waktu itu.
“Kami memastikan pelajar yang duduk lebih jauh berbanding yang lain untuk dikeluarkan dahulu. Jadi, mereka dapat memberitahu yang lain bahawa kami semua selamat,” katanya dalam sidang media sejurus mereka dibenarkan keluar dari hospital pada Rabu.
Tambah Ekkapol, dia dan pasukan bola sepak itu meneroka ke dalam gua selepas sesi latihan pada 23 Jun lepas.
Namun, nasib tidak menyebelahi mereka apabila gua tersebut mula dibanjiri susulan hujan.
“Kami bergilir-gilir korek batu untuk keluar dari gua, kami tidak mahu hanya tunggu sehingga pihak berkuasa tiba untuk beri bantuan,” jelasnya.
Salah seorang remaja yang terperangkap, Adul Sam-on, 14 menceritakan kembali apabila ditemui dua penyelam Britain yang muncul untuk menyelamatkan mereka.
“Ia seolah-olah seperti situasi yang magis. Saya terpaksa berfikir panjang sebelum menjawab soalan mereka,” ujarnya.
Mengimbau kembali detik mencemaskan itu, salah seorang lagi remaja dengan panggilan Tee berkata, sepanjang mereka terperangkap di dalam gua tersebut, mereka hanya minum air tanpa menjamah apa-apa makanan.
Kemunculan pertama mereka hari ini ternyata yang ditunggu-tunggu media antarabangsa. Mereka juga muncul dalam keadaan yang tersenyum dan dalam keadaan yang stabil.
Dalam sidang media yang disiarkan secara langsung ke seluruh Thailand dari Chiang Rai itu, kumpulan remaja dan jurulatih berkenaan menjawab beberapa soalan daripada wartawan yang sudahpun diberikan kepada mereka lebih awal.
Sementara itu, menurut Pegawai Kementerian Keadilan, Tawatchai Thaikaew, privasi remaja itu perlu dilindungi dan dihormati.
Tambahnya lagi, walaupun selepas dibenarkan keluar hospital, sebarang perhatian berlebihan dari pihak media boleh menjejasjkan kesihatan mental mereka.
"Kami tidak tahu 'kecederaan emosi' yang dialami oleh anak-anak ini. Pihak media juga maklum bahawa kumpulan remaja itu diuji situasi yang sulit, dan baru saja melalui kesulitan itu," katanya kepada Reuters di sini, hari ini.
Mereka terperangkap selama 17 hari dalam gua yang berdekatan sempadan Myanmar sebelum berjaya dibawa keluar dengan misi bantuan antarabangsa.
Mereka kemudiannya dimasukkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan susulan.