RUU berkaitan Uighur dijangka diluluskan Dewan Senat AS

Astro Awani
Mei 8, 2020 09:17 MYT
MCCONNEL: Persetujuan Senat mengenai langkah Uighur akan membawanya selangkah lebih dekat ke meja Trump sebelum dibawa ke dewan untuk undian terakhir. - Reuters
Pemimpin majoriti Senat Amerika Syarikat (AS), Mitch McConnel menjangkakan dewan negara itu akan segera meluluskan rang undang-undang (RUU) berkaitan kumpulan minoriti Muslim Uighur di China.
Ia bagi mendesak pentadbiran Presiden AS, Donald Trump meningkatkan tindak balas terhadap tindakan keras China kepada kumpulan minoriti Islam di negara berkenaan.
Memetik laporan Reuters, Mcconnel berkata RUU bipartisan itu diperkenalkan senator Republikan, Marco Rubio yang akan mendesak Trump menggunakan sekatan terhadap pelaku penindasan.
Katanya, undi itu dijangka boleh dilaksanakan pada minggu hadapan walaupun terdapat kemungkinan penangguhan.
Tindakan baharu AS ini berlaku di tengah hubungan yang semakin memburuk di antara pentadbiran Trump dan Beijing berikutan pandemik COVID-19.
Washington menyalahkan China dari segi ketelusan pelaporan negara itu mengenai wabak tersebut pada peringkat awal.
Sementara itu, pejabat senator Rubio berkata pihaknya berharap RUU itu dapat diluluskan dengan sebulat suara, namun tidak mengulas bila ia akan berlaku.
Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan lebih satu juta etnik Islam Uighur ditahan di kem di wilayah Xinjiang, China.
Ia sebahagian daripada kempen China yang mendakwa mereka terlibat dengan aktiviti pengganas.
Selain etnik Uighur, RUU itu turut meliputi kumpulan minoriti Muslim yang lain di China.
Persetujuan Senat mengenai langkah Uighur akan membawanya selangkah lebih dekat ke meja Trump sebelum dibawa ke dewan untuk undian terakhir.
China dalam pada itu mengecam usaha AS itu dan menganggapnya sebagai serangan jahat dan campur tangan serius dalam urusan dalaman negara yang akan mempengaruhi kerjasama dua hala.
China secara konsisten menolak tuduhan penganiayaan terhadap etnik Uighur dan mendakwa kem tersebut hanya memberikan latihan vokasional.
#AS #Beijing #China #Dewan Negara #Donald Trump #Islam #Mitch McConnel #PBB #pengganas #Uighur #undang-undang #Washington
;