Rutin bantuan kemanusiaan di Timur Ghouta

Agensi
Februari 27, 2018 15:25 MYT
Antara kesan bedilan bom di Timur Ghouta. - Foto REUTERS/Bassam Khabieh
'Rakyat hendak jatuhkan kerajaan'.
Berani mati. Namun ia hanyalah nukilan sekumpulan anak kecil pada dinding sekolahnya di Syria. Naif, namun cukup kuat untuk mencetuskan siri berpanjangan detik-detik berdarah bagi umat Islam di Syria.
'Lupakan anak engkau dan buat yang lain'.
Kata-kata yang dilemparkan oleh polis yang telah menangkap kumpulan kanak-kanak itu kepada ibu bapa mereka cukup menggambarkan kekejaman pemerintahan yang sudah sekian lama dihadapi oleh rakyat Syria.
Realiti yang dikaburkan oleh seluruh dunia. Sudah tidak terhitung jumlah kematian di Syria gara-gara perang saudara yang tercetus sejak Mac 2011.
Turut menderita, umat Islam di kawasan Timur Ghouta yang merupakan kawasan sub-bandar Damsyik di bawah kawalan puak militan.
Baru-baru ini, serangan bom yang dilancarkan oleh tentera Syria di kawasan itu telah meragut sekurang-kurangnya sembilan nyawa termasuk kanak-kanak sebelum perintah gencatan senjata selama 30 hari dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNSC).
Lansung tidak memberi peluang kepada mangsa yang tidak bersalah, puak pemberontak terus diarahkan untuk membedil Ghouta tanpa menghiraukan perintah gencetan senjata yang bertujuan memberi ruang untuk bantuan disalurkan kepada mangsa yang terperangkap di situ.
Menurut Prof. Maget Botros dari Universiti Helwan di Mesir, perintah gencatan senjata itu boleh dikatakan gagal atas sebab banyak pihak yang enggan bekerjasama dan terus menyokong kezaliman atas kepentingan masing-masing.
Manipulasi gencatan senjata ini terus diperdebat sehinggalah Kementerian Pertahanan Russia mengisytiharkan rutin bantuan kemanusiaan dilancarkan di Ghouta bermula hari ini.
Seperti yang diperintahkan oleh Presiden Russia, rutin itu akan dilancarkan setiap hari bermula jam 9 pagi sehingga 2 petang untuk mengelakkan lebih banyak kematian.
Menteri Pertahanan Russia turut menyatakan bahawa koridor akan dibuka pada jam tersebut agar orang awam dapat berpindah ke tempat yang lebih selamat.
Ada rakyat Syria yang telah dibelenggu peperangan sepanjang hidup mereka namun hanya diberi masa kurang 5 jam sehari untuk menyelamatkan diri atau sekurang-kurangnya mendapatkan bantuan untuk terus
hidup.
Mungkinkah ini petanda akhir zaman?
Selain dikatakan tempat kebangkitan mujahidin pada akhir zaman, Timur Ghouta kini merupakan kubu kuat terakhir bagi puak pemberontak untuk mengarahkan serangan ke atas ibu kota Syria.
Itulah sebabnya penting bagi kerajaan Syria untuk mengambil alih kawasan tersebut.
Kepincangan yang berlaku antara puak pemberontak dengan Kerajaan Syria telah mengakibatkan banyak kematian insan tidak berdosa. Tidak kira siapa yang menang, rakyat terus menjadi mangsa.
Apa yang boleh diharapkan kini hanyalah agar rutin bantuan kemunusiaan yang diarahkan oleh Menteri Pertahanan Russia dapat dilaksanakan dengan baik.
Semoga sekurang-kurangnya sinar kecil itu dapat memberi harapan kepada generasi baru di Ghouta Timur untuk terus hidup.
#bom #Islam #Kanak-kanak #mangsa #rakyat #Syria #tentera #UNSC
;