Rusuhan tercetus di Paris selepas remaja maut ditembak polis

Bernama
Jun 28, 2023 12:17 MYT
Sekumpulan perusuh yang marah membakar tong sampah, kereta dan sebuah sekolah rendah, manakala pasukan penyelamat dibaling bunga api dalam reaksi mereka terhadap tindakan ganas keterlaluan polis. -Reuters
PARIS: Rusuhan jalanan menggegarkan pinggir bandar Nanterre di Paris, selepas polis menembak mati seorang remaja berusia 17 tahun semasa satu pemeriksaan polis trafik pada Selasa, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Sekumpulan perusuh yang marah membakar tong sampah, kereta dan sebuah sekolah rendah, manakala pasukan penyelamat dibaling bunga api dalam reaksi mereka terhadap tindakan ganas keterlaluan polis, kata pihak berkuasa.
Perusuh mendirikan sekatan antara bangunan kediaman tinggi dan menghalang anggota bomba dalam operasi mereka.
Kekacauan bermula pada petang Selasa dengan tunjuk perasaan di hadapan balai polis Nanterre sebelum merebak ke bandar berjiran.
Di Mantes-la-Jolie, sebuah bangunan pihak berkuasa tempatan dibakar. Polis yang menggunakan gas pemedih mata dan peluru getah bagaimanapun terpaksa berundur.
Menurut pihak berkuasa, 15 orang ditangkap berhubung kejadian itu.
Video telefon bimbit saksi kejadian yang disahkan oleh saluran France Info menunjukkan seorang pegawai mengacukan pistolnya ke pintu pemandu kereta.
Apabila remaja itu secara tiba-tiba meneruskan pemanduannya, pegawai itu melepaskan tembakan dari jarak dekat, menyebabkan dia cedera.
France Info melaporkan pegawai itu ditahan kerana disyaki membunuh. Menurut Menteri Dalam Negeri Gerald Darmanin, badan penyeliaan polis (IPGN) melancarkan siasatan dalaman terhadap kejadian itu.
"Hukuman mati tidak lagi wujud di Perancis. Tiada pegawai polis berhak membunuh kecuali untuk mempertahankan diri," ciap ahli politik sayap kiri Jean-Luc Melenchon. Beliau berkata polis sedang mencemarkan kuasa dan memerlukan pembaharuan dari bawah.
Sementara itu, Presiden Republikan, Eric Ciotti, menyatakan sokongannya kepada polis untuk mengekalkan ketenteraman awam. Tiada apa-apa yang membenarkan kekacauan ini.
-- BERNAMA
#rusuhan #Nanterre #Paris #remaja 17 tahun mati ditembak polis
;