Rusuhan Stadium Kanjuruhan: Waris mangsa terima wang pampasan
Faida Rahim
Oktober 3, 2022 13:51 MYT
Oktober 3, 2022 13:51 MYT
MALANG: Lembaga Eksekutif Pertubuhan Islam Nahdlatul Ulama (PBNU), Ahmad Fahrur Rozi memaklumkan waris mangsa yang terlibat dalam insiden yang berlaku di Stadium Kanjuruhan, Malang, Indonesia akan diberikan wang pampasan.
Dalam sebuah kenyataan kepada media Indonesia, beliau memberitahu setiap individu yang merupakan waris mangsa terkorban akan menerima 5 juta Rupiah (RM1,521).
“PBNU akan menyantuni keluarga mangsa dengan wang pampasan sebanyak 5 juta Rupiah (RM 1,521) bagi waris mangsa yang akan disampaikan oleh pengurus PBNU di Malang,” kata Ahmad Fahrur Rozi, hari ini.
Tambah beliau, bantuan ini merupakan inisiatif dari Jusuf Hamka atau lebih dikenali sebagai Babah Alun yang merupakan salah seorang pemimpin PBNU dan juga usahawan tol.
“Pampasan bertujuan meringankan beban masyarakat dalam keadaan ekonomi yang agak sukar,” katanya.
Difahamkan, bantuan akan diserahkan secara simbolik oleh ketua umum PBNU pada 5 Oktober ini di Malang.
Sementara itu, PBNU turut merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga mangsa yang terlibat dalam kejadian rusuhan di Malang, Sabtu lalu.
LAPOR LANGSUNG: Rusuhan Stadium Kanjuruhan