Rusuhan Stadium Kanjuruhan: Rakaman kejadian menerusi CCTV dipadamkan - Laporan

Astro Awani
Oktober 18, 2022 20:02 MYT
Misi TGIPF untuk mengetahui apa yang sebenarnya berlaku di dalam stadium itu terbantut. - Gambar fail
RAKAMAN kamera litar tertutup (CCTV) ketika kejadian rusuhan yang mengorbankan ratusan nyawa di Stadium Kanjuruhan pada 1 Oktober lepas didakwa telah dipadamkan.
Memetik laporan Tempo.co, rakaman yang dipadamkan adalah selepas perlawanan antara pasukan Arema FC dan Persebaya Surabaya pada 1 Oktober lepas.
“Kejadian itu dirakam menerusi rakaman CCTV di lobi utama dan kawasan parkir stadium. Rakaman CCTV bermula jam 22:21:30 waktu tempatan merakam peristiwa selama satu jam 21 minit.
“Selepas itu, rakaman yang berlangsung selama tiga jam, 21 minit, 54 saat telah hilang (dipadamkan),” menurut siasatan yang dilakukan oleh badan penyiasat bebas Indonesia (TGIPF) yang telah dikongsikan kepada Presiden, Joko Widodo pada 14 Oktober lepas.
BACA: Rusuhan Stadium Kanjuruhan: Arema FC didenda RM75,950
BACA: Gas pemedih mata cetuskan tragedi Stadium Kanjuruhan - Polis
Rakaman itu kemudian muncul semula selama 15 minit sahaja. Oleh itu, misi TGIPF untuk mengetahui apa yang sebenarnya berlaku di dalam stadium itu terbantut.
Bagaimanapun, pasukan itu mendakwa pihaknya cuba mendapatkan rakaman lengkap daripada pihak polis.
Tragedi Kanjuruhan yang mengorbankan 132 orang berlaku selepas perlawanan Arema FC vs Persebaya Surabaya.
Jokowi dengan itu menubuhkan TGIPF untuk menjalankan siasatan menyeluruh. TGIPF membuat kesimpulan bahawa gas pemedih mata adalah punca utama kematian beramai-ramai.
Selain rakaman CCTV yang dipadamkan, TGIPF turut mendedahkan percubaan polis untuk menggantikan rakaman CCTV tragedi itu.
#gas pemedih mata #Indonesia #Joko Widodo #CCTV #Stadium Kanjuruhan
;