Rusuhan Stadium Kanjuruhan: Kejadian kedua terburuk dalam sejarah bola sepak dunia
Hasimi Muhamad
Oktober 2, 2022 19:50 MYT
Oktober 2, 2022 19:50 MYT
ARENA bola sepak Indonesia dicemari dengan insiden hitam susulan insiden rusuhan penonton dan penyokong di Stadium Kanjuruhan, Malang, Jawa Timur, Indonesia pada Sabtu malam.
Media malaporkan kejadian tercetus selepas penyokong pasukan Arema FC tidak berpuas hati dengan kekalahan 2-3 ke atas pasukan Persebaya Surabaya, mengakibatkan ribuan penyokong meluru masuk ke kawasan padang.
Situasi tersebut membawa kepada tindakan polis melepaskan gas pemedih mata sehingga menyebabkan keadaan menjadi kelam-kabut.
Ribuan penonton kemudian bersesak untuk keluar dari stadium dan sesak nafas akibat semburan gas pemedih mata, malah pihak berkuasa melaporkan mangsa yang terkorban antaranya akibat berhimpit, bersesak dan dipijak.
Kejadian tersebut membawa kepada pelbagai reaksi termasuk mengenai pengurusan prosedur operasi standard (SOP), dan penggunaan gas pemedih mata dalam stadium.
Mengikut garis panduan stadium oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), gas pemedih mata tidak dibenar digunakan dalam ruangan tertutup.
Begitupun, jika ia terpaksa dilepaskan orang ramai terlebih dahulu mesti diberi amaran bahawa gas pemedih mata akan digunakan dan digalakkan untuk bersurai.
Angka korban dijangka meningkat, yang mana setakat berita ini ditulis sekurang-kurangnya 182 individu maut dengan ratusan lagi cedera.
Statistik tersebut meletakkan rusuhan di Stadium Kanjuruhan, Malang sebagai terburuk di Asia dan kedua dalam sejarah bola sepak dunia.
Memetik laporan media, rusuhan penyokong pada aksi Liga 1 Indonesia antara Arema FC dan Persebaya Surabaya mengatasi tragedi di Stadium Accra Sports, Ghana yang mengorbankan 126 nyawa.
Insiden di Lima, Peru kekal sebagai tragedi terburuk selepas 328 orang terkorban ketika aksi kelayakan Olimpik Tokyo antara Peru dan Argentina pada 24 Mei 1964.
Pada perlawanan tersebut, stadium dipenuhi dengan kapasiti 53,000 penonton.
CNN melaporkan kekecohan berlaku tercetus kerana penyokong tidak berpuas hati apabila pengadil menolak gol penyamaan yang dijaringkan oleh Peru pada berlawanan yang berbaki dua minit lagi.
Salah seorang penyokong tuan rumah dikenali sebagai Bomba meluru masuk ke dalam padang dan cuba memukul pengadil namun berjaya dihalang oleh pihak polis.
Cubaan turut dilakukan oleh seorang lagi penyokong, Edilberto Cuenca mengakibatkan dia dibelasah dengan teruk oleh pihak polis.
"Anggota polis telah menendangnya dan memukulnya seolah-olah dia adalah musuh. Ini yang menimbulkan kemarahan semua orang - termasuk saya," kata salah seorang penyokong pada hari kejadian, Jose Salas memetik laporan CNN yang disiarkan pada Mei 2014.
Polis lepas gas pemedih mata
Pihak polis dilapor melepaskan gas pemedih mata bagi menyuraikan penyokong kerana ramai yang bertindak masuk ke padang, selain menyerang anggota keselamatan.
Situasi bertambah genting apabila pintu keluar stadium dikatakan ditutup menyebabkan ramai penonton mengalami kesesakan nafas dan ada yang maut akibat dipijak.
Angka korban yang didedahkan adalah sekitar 328 orang, namun mungkin melebihi bilangan tersebut kerana terdapat dakwaan bahawa terdapat kematian akibat tembakan oleh polis.
Jorge Azambuja, komander polis yang dilapor memberi arahan untuk melepaskan gas pemedih mata, dijatuhi hukuman penjara 30 bulan.
Rusuhan di Malang
- Pihak berkuasa masih lagi menyiasat punca sebenar kejadian.
- Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) mengesahkan mangsa yang terkorban dalam kejadian rusuhan bola sepak bukan berpunca daripada pergaduhan antara penyokong.
- Mangsa yang terkorban dipercayai akibat sesak nafas, terhimpit serta dipijak ketika para penyokong cuba untuk keluar daripada stadium berkenaan.
- PSSI telah menyerahkan laporan kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berhubung insiden berkenaan.
- Menteri Koordinator Bidang Politik, Hukum dan Keamanan Indonesia Mahfud MD berkata sebanyak 42,000 tiket dicetak bagi perlawanan tersebut meskipun kapasiti stadium itu hanya memuatkan 38,000 penonton.
- Presiden Indonesia, Joko Widodo mengarahkan menghentikan sementara perlawanan bola sepak Liga 1, dan menyiasat secara menyeluruh punca insiden.
Respons FIFA
Presiden FIFA, Gianni Infantino menyifatkan insiden rusuhan di Malang sebagai hari gelap dan sukar buat semua yang terlibat dalam sukan bola sepak.
“Dunia bola sepak berada dalam keadaan terkejut berikutan insiden tragis yang berlaku di Indonesia pada penghujung perlawanan antara Arema FC dan Persebaya Surabaya di Stadium Kanjuruhan.
"Saya mengucapkan takziah kepada keluarga dan rakan mangsa yang kehilangan nyawa berikutan insiden tragis ini," katanya dalam satu kenyataan.
#Marang riot
#rusuhan Stadium Kanjuruhan
#Angka korban rusuhan Stadium Kanjuruhan
#Bola sepak Indonesia