Rusuhan Stadium Kanjuruhan: Indonesia tubuh pasukan bebas, cari punca kejadian rempuhan

Astro Awani
Oktober 5, 2022 19:08 MYT
Kerajaan Indonesia menubuhkan pasukan bebas bagi menyiasat kejadian rempuhan selepas perlawanan bola sepak di Stadium Kanjuruhan di Malang, Sabtu lalu. - Gambar fail/REUTERS
MALANG: Kerajaan Indonesia menubuhkan pasukan bebas bagi menyiasat kejadian rempuhan selepas perlawanan bola sepak di Stadium Kanjuruhan di Malang, Sabtu lalu.
Pasukan itu akan mencari fakta kes dan punca rempuhan yang menyebabkan 125 orang terbunuh, selain, mencederakan 320 yang lain.
Menteri Penyelaras Politik, Undang-undang dan Keselamatan Mahfud MD akan mengetuai pasukan pencari fakta dan akan mencari siapa yang bertanggungjawab di atas kejadian itu.
Pasukan bebas itu turut dianggotai pegawai kementerian dan institusi kerajaan berkaitan, pertubuhan bola sepak profesional, pemerhati, ahli akademik dan media massa.
Selain penubuhan pasukan itu, Presiden Indonesia, Joko Widodo juga telah mengarahkan polis dan tentera menyiasat pegawai serta anggota mereka yang didakwa menjadi penyebab kepada kejadian rempuhan itu.
BACA: [LAPOR LANGSUNG] Rusuhan Stadium Kanjuruhan kejadian kedua terburuk dalam sejarah dunia
Ketika ini, Polis Indonesia dikecam teruk orang awam kerana mendakwa rempuhan itu berlaku berikutan tindakan anggota keselamatan berkenaan melepaskan gas pemedih mata ke arah orang ramai.
Ia sekali gus mencetuskan panik di kalangan penonton dan rempuhan di salah satu pintu keluar stadium.
Susulan itu, sembilan pegawai dilapor telah dipecat dari jawatan dengan 18 lagi disiast kerana kerana melepaskan gas pemedih mata itu di stadium terbabit.
#Indonesia #bola sepak #gas pemedih mata #rempuhan #Stadium Kanjuruhan #pasukan bebas #rusuhan
;